KUALA LUMPUR: Perintis bank patuh syariah, Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) hari ini mencipta sejarah apabila menjadi satu-satunya institusi perbankan Islam penuh disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia.

Ia berikutan muktamadnya penstrukturan semula BIMB Holdings Bhd (BHB), apabila anak syarikat milik penuh BHB, Bank Islam, mengambil alih status penyenaraian BHB di Pasaran Utama.

Melalui jangkaan modal pasaran sebanyak RM6.3 bilion, Bank Islam kini memulakan strategi pelan perniagaan lima tahun atau dikenali sebagai LEAP25 yang menjanjikan penggunaan teknologi, merancang semula pertumbuhan dan beroperasi dalam norma baharu bagi mengatasi cabaran yang dibawa oleh pandemik COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam Berhad, Mohd Muazzam Mohamed berkata, penyenaraian tersebut juga akan memberikan bank berkenaan akses kepada sumber modal meluas dan mempunyai fleksibiliti dalam pertumbuhan ekuiti.

“Penyenaraian ini akan meningkatkan keyakinan pelanggan, pelabur dan institusi kewangan lain kepada Bank Islam.  Ia juga membolehkan bank untuk melabur dalam inovasi produk dan perkhidmatan supaya maju ke hadapan dan memberikan manfaat terbaik kepada para pelanggan.

“Langkah ini juga akan membolehkan bank untuk menyokong perniagaan bank itu sendiri, untuk pengembangan perniagaan seperti pembiayaan, selain menumpukan kepada bahagian baharu, iaitu penyelesaian kewangan lengkap, Syariah-ESG termasuk membuka peluang pelabur untuk turut serta ke dalam saham bank,” katanya kepada pemberita ketika ditemui, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Mohd Muazzam berkata, pihaknya turut menitikberatkan aspek pendigitalan dalam memberikan pengalaman terbaik kepada pelanggannya di masa hadapan.

“Pertamanya, agenda pendigitalan akan disegerakan meliputi dua aspek, iaitu dalaman dan saluran kepada pelanggan. Kedua adalah DNA Bank Islam, iaitu pertimbangan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang mengangkat prinsip maqasid syariah.

“Selain itu, industri halal dengan menjadi bank pilihan halal oleh pelanggan, selain kemudahan pembiayaan kepada masyarakat terpinggir melalui instrumen kewangan sosial Islam termasuk menyokong usaha menjana semula ekonomi pelanggan dan negara pasca-COVID-19,” katanya lagi.