ACMM gesa peraturan lebih telus bagi penutupan akaun bank

ACMM berkata tiada mana-mana individu atau syarikat yang harus dikenakan tindakan, penalti atau diskriminasi selagi tidak dibuktikan bersalah di mahkamah. - Gambar ACMM
KUALA LUMPUR: Persatuan Pengurusan Kredit Malaysia (ACMM) menggesa Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kewangan (MoF) memperkenalkan peraturan yang jelas serta telus berkaitan kewajaran penutupan akaun bank individu serta syarikat.
Ringkasan AI
- ACMM mendesak BNM dan MoF membawa peraturan yang jelas berkenaan penutupan akaun bank individu dan syarikat untuk mengelakkan penggantungan tanpa penjelasan yang menjejaskan perniagaan.
 - Kes penggantungan akaun tanpa justifikasi menyebabkan gangguan serius terhadap operasi perniagaan, termasuk aliran tunai, gaji, pembayaran pembekal, dan kelangsungan perniagaan.
 - ACMM menekankan perlunya adil dalam penguatkuasaan undang-undang tanpa diskriminasi, serta menekankan prinsip keadilan dengan memberikan peluang merayu dalam sebarang tindakan penutupan akaun.
 
"Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, banyak perniagaan terutamanya, diklasifikasikan sebagai 'berisiko tinggi' dan (akibatnya) akaun bank digantung atau ditutup secara tiba-tiba tanpa penjelasan atau bukti jelas yang menyebabkan gangguan serius terhadap operasi mereka, termasuk aliran tunai, gaji, pembayaran pembekal serta dan kelangsungan perniagaan secara keseluruhan," katanya.
ACMM berkata tiada mana-mana individu atau syarikat yang harus dikenakan tindakan, penalti atau diskriminasi selagi tidak dibuktikan bersalah di mahkamah.
"Penutupan akaun yang hanya berasaskan syak atau klasifikasi risiko dalaman tanpa alasan atau justifikasi sewajarnya atau tanpa peluang merayu, adalah bertentangan dengan prinsip asas keadilan," katanya.
Presiden ACMM Dr Sri Ganesh Michiel berkata walaupun persatuan mengakui kepentingan memerangi pengubahan wang haram serta pembiayaan aktiviti pengganas, namun pada masa sama ACMM berpendirian bahawa perniagaan sah dan individu tidak harus menjadi sasaran tidak adil atau dinafikan akses terhadap perkhidmatan perbankan yang penting.
"Banyak pihak terjejas ini tidak pun didakwa atau disabitkan kesalahan, namun mereka dianggap bersalah tanpa dibicarakan," katanya.
ACMM, katanya, kekal komited dalam usaha menyokong kerajaan dan pengawal selia dalam menjaga integriti sistem kewangan, namun penekanan itu perlu seimbang dengan perlindungan hak pengguna dan perniagaan bagi mendapatkan layanan adil serta akses terhadap perkhidmatan perbankan yang penting.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


