Deaflympics 2025: Kontinjen negara sedia hadapi cuaca sejuk

Hannah menyerahkan Jalur Gemilang kepada Mohd Yusri pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Pekak Malaysia Ke 25th Deaflympics Tokyo, di Pearl Kuala Lumpur, 3 Nov 2025. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Kontinjen negara ke temasya Deaflympics Tokyo 2025 kini pada fasa akhir persiapan dengan fokus utama kepada aspek kesihatan serta penyesuaian terhadap cuaca sejuk di Jepun yang kini kira-kira 14 darjah Celsius.
Ketua Kontinjen Malaysia (CDM) Mohd Yusri Abdul Ghani berkata semua atlet telah diingatkan supaya menjaga kesihatan dan kekal fokus.
"Kami dijadual berlepas esok dan akan tiba di Miyoshi (Tokyo) untuk menjalani latihan serta penyesuaian diri selama dua minggu sebelum temasya bermula," katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen oleh Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh di sini semalam.
Temasya sukan yang turut dikenali sebagai Summer Deaflympics itu akan berlangsung dari 15 hingga 26 Nov ini.
Beliau berkata keadaan cuaca di Jepun yang ketika ini lebih sejuk daripada kebiasaan memerlukan pihaknya membuat persiapan rapi termasuk membawa pasukan perubatan serta fisioterapi sebagai usaha memastikan kesihatan atlet dalam keadaan terbaik.
"Cuaca di sana agak sejuk semua atlet telah menjalani pemeriksaan kesihatan di Institut Sukan Negara (ISN) dan semua disahkan berada dalam keadaan baik," katanya.
Mohd Yusri berkata atlet juga menunjukkan semangat tinggi dan sama sekali tidak terganggu dengan faktor cuaca sejuk kerana ada dalam kalangan mereka pernah beraksi di luar negara termasuk di Brazil.
"Sebahagian atlet kita berpengalaman menyertai temasya sama sebelum ini dalam keadaan sejuk. Jadi dekat Jepun ni kita akan cuba menyesuaikan diri sebaik mungkin," katanya.
Untuk rekod, pada edisi Deaflympics 2022, kem Malaysia membawa pulang dua pingat emas menerusi acara badminton beregu wanita dan boling berpasukan wanita.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


