KUALA LUMPUR: Kadar dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi simpanan konvensional dan simpanan syariah yang lebih rendah pada 2022 adalah dalam lingkungan seperti yang dijangka, menurut pakar ekonomi.

Semalam, KWSP mengumumkan kadar dividen 5.35 peratus untuk simpanan konvensional bagi 2022 dengan jumlah pembayaran sebanyak RM45.44 bilion manakala dividen 4.75 peratus untuk simpanan syariah dengan jumlah pembayaran RM5.70 bilion.

Ini menjadikan jumlah pembayaran keseluruhan untuk 2022 sebanyak RM51.14 bilion yang memanfaatkan 15.72 juta ahli.

KWSP | Agihan dividen 5.35% konvensional, 4.75% shariah


Pada 2021, KWSP mengumumkan dividen 6.1 peratus bagi simpanan konvensional manakala 5.65 peratus bagi simpanan syariah.

Bagaimanapun, kadar pada 2022 telah melebihi dividen pada 2020 iaitu 5.20 peratus (konvensional) dan 4.90 peratus (syariah).

Ketua Ekonomi dan Analisis Pasaran dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kadar dividen untuk 2022 tidaklah mengejutkan memandangkan pasaran kewangan yang terjejas teruk disebabkan beberapa kejutan.

Beliau berkata kenaikan mendadak Kadar Dana Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat telah mengejutkan banyak pihak berikutan Pengerusi Fed berpendapat bahawa kenaikan inflasi adalah sementara, namun, mengubah strategi pada 2022 dan tampil agresif dalam memerangi kadar inflasi.

"Peperangan di Ukraine yang bermula pada Februari 2022 telah menyebabkan harga makanan naik mendadak sekali gus menambahkan lagi gangguan terhadap rantaian bekalan akibat COVID-19.

"Di sebalik semua musibah ini, KWSP berjaya memberikan dividen melebihi kadar inflasi 3.3 peratus pada 2022, malah lebih tinggi berbanding hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) 10 tahun iaitu 3.87 peratus pada akhir tahun lepas," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Seri Amir Hamzah Azizan ketika taklimat prestasi kewangan KWSP 2022 semalam berkata, pulangan yang kompetitif itu sebahagian besarnya dipacu oleh strategi dana persaraan itu yang menekankan kepada kemampanan jangka panjang pelaburan dan pulangan, selaras dengan Alokasi Aset Strategik (SAA) KWSP.

Setakat 31 Dis 2022, KWSP merekodkan jumlah pendapatan pelaburan kasar lebih rendah sebanyak RM55.33 bilion berbanding RM68.89 bilion pada 2021, didorong oleh ketidaktentuan pasaran yang meningkat dan penilaian pasaran ekuiti dan pendapatan tetap yang lebih lembab.


Simpanan KWSP menyusut & struktur gaji rendah


Pertumbuhan positif dalam keahlian KWSP

KWSP turut melaporkan pertumbuhan positif bagi pendaftaran ahli berikutan pemulihan teguh pasaran buruh Malaysia dan ini membantu dana persaraan itu mencatat pertumbuhan pendaftaran ahli baharu sebanyak 635,989 pada 2022.

Bagaimanapun, peratusan ahli aktif berbanding jumlah tenaga buruh masih agak rendah berbanding tahap perlindungan sosial hari tua di seluruh dunia.

Sehubungan itu, KWSP sedang melancarkan inisiatif dan menggiatkan usahanya untuk meningkatkan perlindungan tenaga buruh negara kepada lebih 60 peratus.

Antara usaha berterusan dalam meluaskan perlindungan KWSP adalah melalui i-Saraan, yang dibangunkan khusus untuk membolehkan pekerja dalam sektor tidak formal atau yang tidak mempunyai pendapatan formal untuk menabung dengan KWSP.

Mengulas mengenai pertumbuhan positif keahlian KWSP, Mohd Afzanizam berkata ini menunjukkan bahawa penambahbaikan di pasaran buruh bergerak seiring dengan pertambahan ahli KWSP.

"Apabila semakin ramai yang mendapat pekerjaan, lebih ramai pekerja menjadi ahli KWSP. Tanggapan ini adalah selaras dengan caruman yang diterima oleh KWSP.

"Dalam jangka panjang, kita tidak boleh bergantung kepada satu instrumen tertentu untuk membantu rakyat Malaysia menangani kesukaran ekonomi mereka," kata Mohd Afzanizam.

Beliau berkata terdapat instrumen atau alat dasar lain yang berupaya membantu rakyat Malaysia seperti pindahan tunai, geran, skim pembiayaan mikro untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana, subsidi, kawalan harga, dan pembinaan kapasiti melalui latihan dan pendidikan.

"Mungkin kerajaan perlu menyenaraikan bantuan yang boleh dimohon oleh semua rakyat Malaysia.

"Maksudnya, berapa bantuan kewangan yang boleh diterima seseorang secara per kapita. Dengan cara itu orang ramai boleh mendapat idea lebih baik mengenai sejauh mana bantuan yang boleh diterima, antaranya daripada kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan majlis agama negeri," katanya.


Lebih banyak pengeluaran KWSP?

Mohd Afzanizam berkata, golongan yang menggesa agar lebih banyak pengeluaran KWSP dilaksanakan dianggap sebagai kurang kecelikan kewangan.

"Kita perlu memahami bahawa pengeluaran khas telah menyebabkan KWSP meletakkan lebih banyak wang dalam aset cair seperti pasaran wang yang tidak menghasilkan pulangan tinggi.

"Ini boleh menjejaskan jumlah pulangan pelaburan yang pada akhirnya memberikan kesan kepada kadar dividen," katanya.

Mohd Afzanizam berkata apabila wang tersebut disimpan dalam KWSP, ia akan bertambah pada kadar lebih cepat kerana wang akan terkompaun berdasarkan jumlah lebih besar berbanding baki sebelumnya, yang meliputi prinsipal tahun sebelumnya, dividen serta caruman baharu pada tahun berkenaan.

"Apabila wang itu dikeluarkan daripada KWSP, ahli tidak akan dapat menikmati pulangan lebih tinggi berikutan pengeluaran tersebut akan merangkumi prinsipal pelaburan dan pulangan," kata Mohd Afzanizam.


Kerajaan tambah caruman RM500

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa membentangkan Belanjawan 2023 pada 24 Februari mengumumkan kerajaan bersetuju untuk menambah caruman RM500 bagi ahli KWSP berumur 40 tahun hingga 54 tahun yang mempunyai simpanan kurang RM10,000 dalam Akaun 1, melibatkan peruntukan sebanyak RM1 bilion.

Mohd Afzanizam berkata meskipun jumlah caruman itu mungkin kelihatan rendah, amaun itu tetap memberikan manfaat.

"Kita perlu mengambil kira faktor kompaun yang akan dinikmati ahli susulan daripada pindahan tunai itu.

"Bagaimanapun, ahli KWSP perlu menyimpan wang berkenaan dengan KWSP selama yang mungkin untuk menikmati pulangan pelaburan terkumpul dalam tempoh lebih panjang," katanya.

Beliau meminta orang ramai untuk tidak melihat nilai RM500 itu pada masa ini berikutan nilai RM500 pada masa depan pastinya lebih tinggi berikutan pembayaran dividen KWSP yang dilaksanakan secara berterusan.

-- BERNAMA