KUALA LUMPUR: DRB-HICOM Berhad menyambut baik Belanjawan 2027 yang menyediakan insentif cukai sehingga RM5 juta bagi syarikat vendor automotif milik penuh rakyat Malaysia yang memindahkan operasi ke Automotive Hi-Tech Valley (AHTV) di Tanjong Malim, Perak.
Insentif bagi perbelanjaan perpindahan yang layak itu meliputi tempoh 1 Januari 2027 hingga 31 Disember 2030, sekali gus dijangka menggalakkan penyertaan lebih banyak vendor tempatan dalam ekosistem automotif berteknologi tinggi.
Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM Berhad, Tan Sri Syed Faisal Albar, berkata insentif berkenaan merupakan langkah penting untuk merealisasikan aspirasi AHTV sebagai hab Kenderaan Generasi Baharu dan Kenderaan Cekap Tenaga.
Menurut beliau, peningkatan penyertaan vendor tempatan akan memperkukuh rantaian bekalan, menyokong pembangunan mobiliti generasi baharu serta meningkatkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan automotif.
AHTV dibangunkan oleh AHTV Alliance Sdn. Bhd., usaha sama antara DRB-HICOM dan Zhejiang Geely Holding Group Co. Ltd., sebagai ekosistem automotif bersepadu yang merangkumi penyelidikan dan pembangunan, pembuatan, logistik serta latihan bagi menyokong aspirasi Malaysia menjadi hab automotif serantau.