Ringkasan AI
- Lembaga pengarah Nvidia melantik semula Jensen Huang sebagai presiden, CEO dan anggota lembaga pengarah berkuat kuasa serta-merta.
- Keputusan dibuat selepas perbincangan bersama Huang dan mendapatkan pandangan pegawai kanan kerajaan AS, tanpa menimbulkan risiko keselamatan negara.
- Pelantikan semula Huang turut mendapat sokongan Presiden AS Donald Trump selepas beliau meletak jawatan awal bulan ini.
ISTANBUL: Lembaga pengarah pengeluar cip Amerika Syarikat (AS), Nvidia, pada Isnin melantik semula Jensen Huang sebagai presiden, ketua pegawai eksekutif (CEO) dan anggota lembaga pengarah syarikat itu, berkuat kuasa serta-merta, lapor Anadolu Ajansi.
“Lembaga Pengarah sebulat suara mengundi untuk melantik semula Huang selepas beberapa siri perbincangan dan mesyuarat bersama beliau, yang menyakinkan lembaga mengenai keterbukaan serta keupayaan Huang untuk menerajui NVIDIA,” menurut kenyataan syarikat itu.
Nvidia berkata lembaga pengarah turut mendapatkan pandangan pegawai kanan kerajaan AS sepanjang proses pertimbangan berkenaan. Berdasarkan rundingan, lembaga pengarah yakin bahawa kepulangan Huang “tidak menimbulkan sebarang risiko terhadap keselamatan negara”, menurut syarikat berkenaan.
Keputusan itu dibuat selepas Presiden AS Donald Trump menggesa lembaga pengarah Nvidia supaya melantik semula Huang.
Huang meletak jawatan awal bulan ini susulan penelitian terhadap hubungannya dengan Alice Huang, bekas eksekutif syarikat Megaspeed yang berpangkalan di Singapura.
“Saya berharap lembaga pengarah Nvidia melantik semula Jensen Huang. Ia akan menjadi perkara terbaik untuk syarikat itu dan juga untuk AS,” kata Trump menerusi platform media sosialnya, Truth Social, lewat Ahad.
Trump sebelum ini pernah mencadangkan bekas CEO Apple Tim Cook, untuk jawatan berkenaan, namun berkata beliau terbuka kepada kemungkinan Huang kembali menerajui Nvidia.
“Saya sememangnya tidak keberatan melihat perkara itu berlaku … Saya fikir beliau sudah mendapat pelajaran yang besar,” katanya.
Pengerusi Lembaga Pengarah Nvidia Harvey Jones, minggu lepas berkata syarikat itu tidak mempunyai rancangan untuk melantik semula Huang, yang sebelum ini menyatakan kesediaannya untuk kembali.
“Sekiranya Lembaga Pengarah memutuskan bahawa kepulangan saya adalah demi kepentingan terbaik pemegang saham, pekerja, syarikat dan Amerika, saya berbesar hati untuk menyahut seruan ini dan kembali sebagai CEO,” kata Huang dalam satu kenyataan.
-- BERNAMA-ANADOLU