KUALA LUMPUR: Ekonomi Islam global berpotensi mencatat pertumbuhan besar manakala pasaran halal dunia diunjur mencecah US$9.71 trilion (US$1=RM4.69) menjelang 2025 dengan negara-negara seperti Malaysia dijangka menerajuinya pada tahun-tahun akan datang.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata industri halal misalnya terbukti menjadi salah satu sektor paling kompetitif dan pantas di dunia dan perkembangan sedemikian dijangka turut dialami oleh aset kewangan Islam.

"Malah, aset kewangan Islam berkembang sebanyak 163 peratus sejak sedekad lepas daripada US$1.71 trilion pada 2012 kepada US$4.51 trilion dalam 2022. Prestasi itu didorong oleh lembaran imbangan yang kukuh, peningkatan perolehan, sokongan pengawalseliaan serta permintaan berterusan daripada pelanggan dan pelabur di serata dunia.

"Oleh itu, bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila banyak negara kini menumpukan industri halal, banyak syarikat mahu melabur dalam produk berkaitan halal, memacu inovasi dan mewujudkan penyelesaian terhadap sasaran bahagian daripada 1.9 bilion umat Islam dunia yang hampir 25 peratus daripada penduduk global," katanya ketika menyampaikan ucapan khas pada acara Forum Global mengenai Ekonomi dan Kewangan Islam (GFIEF) di sini, hari ini.

Memperincikan selanjutnya, Tengku Zafrul berkata dalam usaha memenuhi permintaan sektor halal yang pesat berkembang, aspek teknologi menjadi faktor utama bagi memastikan kemajuan perkembangan industri halal.

Mengulas peluang yang boleh dimanfaatkan, beliau berkata peningkatan bilangan pelanggan halal dalam kalangan bukan Muslim di peringkat global akan turut menyumbang kepada pertumbuhan industri halal dan merangkumi pelbagai sektor, termasuk makanan dan minuman, produk penjagaan diri, farmaseutikal, perkhidmatan dan operasi perniagaan.

"Peluang lain yang perlu menjadi hala tuju industri halal Malaysia adalah penggunaan teknologi bagi memastikan integriti keseluruhan ekosistem rantaian bekalan yang merangkumi aspek pemerolehan, pensijilan serta logistik.

"Perkara ketiga yang ingin saya ketengahkan adalah memudahcara perdagangan dan perkhidmatan halal. Merujuk perkara ini, Pameran Halal Antarabangsa Malaysia anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) berperanan sebagai platform utama dalam mengetengahkan jenama Malaysia.

"Elemen keempat adalah mengenai bakat. Pada 2022 Malaysia mempunyai 20,000 bakat atau tenaga kerja yang turut dilengkapi dengan pensijilan halal," katanya.

Tengku Zafrul juga menegaskan, dalaam usaha untuk kekal berdaya saing dan mencapai matlamat tinggi, negara memerlukan lebih banyak inovasi, pasaran yang bersatu, meningkatkan pelaburan melalui kemudahan menjalankan perniagaan, mengurangkan birokrasi selain perjalanan pelabur yang lebih lancar.

Bersandarkan kepentingan itu, beliau berkata keputusan kerajaan untuk memperkasa Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sebagai agensi penggalakan pelaburan utama negara, akan memastikan aktiviti promosi yang lebih lancar, teratur dan fokus.

Beliau berkata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) juga dalam proses menyusun semula peranan Halal Development Corporation (HDC) bagi mengurangkan pertindihan selain meningkatkan tumpuan penggalakan industri halal dalam ekosistem MITI.

"Kementerian telah meminta MIDA mewujudkan kategori baharu bagi pelaburan langsung asing dan pelaburan langsung domestik yang merupakan kategori halal. MIDA akan menerajui promosi pelaburan secara menyeluruh termasuk halal manakala HDC memacu pertumbuhan dalam ekosistem perindustrian halal.

"HDC akan merangka strategi untuk rantaian nilai halal dan patuh Syariah sepenuhnya dengan berkembang kepada sektor baharu seperti farmaseutikal, kosmetik, penjagaan diri, logistik, perkhidmatan hospitaliti dan peranti perubatan untuk memenuhi keperluan ekonomi moden," katanya.

-- BERNAMA