Skip to main content
Advertisement

Bisnes

[EKSKLUSIF] Permintaan AI, E&E dijangka kekal kukuh hingga 2028 - Gabenor BNM

Bank Negara, Gabenor
Kekuatan sektor E&E negara bukan berlaku secara nasib, sebaliknya hasil usaha berterusan Malaysia meningkatkan kedudukan dalam rantaian bekalan global, menurut Gabenor Bank Negara Malaysia, Abdul Rasheed Ghaffour. - Gambar Kementerian Kewangan
Advertisement

KUALA LUMPUR: Permintaan kukuh terhadap kecerdasan buatan (AI) dijangka terus menyokong pertumbuhan industri elektrik dan elektronik (E&E) Malaysia sekurang-kurangnya sehingga 2028.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, prospek itu didorong penggunaan AI yang masih berada pada peringkat awal serta peningkatan keupayaan industri tempatan menghasilkan komponen bernilai tinggi.

Menurut beliau, kekuatan sektor E&E negara bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil usaha berterusan Malaysia meningkatkan kedudukan dalam rantaian bekalan global.

Jelas beliau, industri E&E negara yang sebelum ini banyak tertumpu kepada aktiviti pemasangan kini telah berkembang kepada pengeluaran komponen yang lebih kompleks dan bernilai tinggi.

"Kita bermula dalam E&E pada peringkat rendah, pemasangan sahaja. Sekarang kita sudah meningkat sebagai pengeluar komponen yang semakin penting dan lebih bernilai tinggi. Kita sudah menghasilkan advanced packaging, cip memori dan komponen yang diperlukan sekarang," ujar beliau dalam wawancara eksklusif bersama Astro AWANI mengenai prospek dan hala tuju ekonomi negara yang disiarkan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Abdul Rasheed menegaskan, peningkatan nilai tambah itu membolehkan Malaysia terus kekal relevan ketika permintaan elektronik global beralih daripada produk elektronik konvensional kepada AI dan teknologi lebih maju termasuk agentic AI.

Pada masa sama, dasar kerajaan dalam memperkukuh daya saing industri, meneroka bidang baharu serta meningkatkan kemahiran tenaga kerja turut menjadi faktor penting dalam mengekalkan momentum tersebut.

Menurut beliau, permintaan berkaitan AI bukan sekadar lonjakan sementara atau bergantung kepada satu kitaran teknologi.

Ini kerana permintaan AI kekal tinggi khususnya dari negara maju, manakala penggunaan teknologi itu sendiri masih berada pada peringkat awal dan mempunyai ruang yang luas untuk terus berkembang.

Abdul Rasheed berkata, maklum balas daripada pengeluar E&E di Malaysia turut menunjukkan tempahan semakin panjang berbanding beberapa bulan lalu.

"Pada Mac, apabila saya bertemu pengeluar, mereka memberitahu tempahan untuk enam bulan (sudah diterima). Apabila saya bertemu mereka baru-baru ini, tempahan sekarang antara 12 hingga 18 bulan. Pandangan mereka, kitaran ini boleh bertahan sekurang-kurangnya sehingga 2028 atau mungkin lebih daripada itu," katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, Malaysia tidak boleh bergantung kepada momentum semasa semata-mata dan industri perlu terus berinovasi serta meningkatkan keupayaan bagi memastikan kekal relevan apabila teknologi dan permintaan global berubah.

Katanya, keupayaan memenuhi permintaan baharu itu akan membantu memanjangkan manfaat pertumbuhan sektor E&E kepada ekonomi negara.

Pada masa sama, Abdul Rasheed berkata, peningkatan pendapatan rakyat menerusi langkah seperti pelaksanaan gaji minimum dan gaji kehidupan wajar turut berpotensi mengukuhkan permintaan domestik.

Jelas beliau, gabungan permintaan luar yang kukuh dan penggunaan domestik yang lebih tinggi dapat mewujudkan beberapa enjin pertumbuhan secara serentak, sekali gus menjadikan pertumbuhan ekonomi Malaysia lebih kukuh dan mampan.

Must Watch Video

Advertisement