AYER MOLEK: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tiada pihak yang menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung isu pelaksanaan tahanan rumah membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Sebaliknya, beliau berkata, pelaksanaan tahanan rumah bukan di bawah kuasa mutlak Perdana Menteri, sebaliknya perlu mengikut proses undang-undang yang ditetapkan.
Anwar berkata, keputusan berhubung perkara itu perlu melalui proses mahkamah selepas Peguam Negara meneliti titah dan implikasi perundangan berkaitan.
“Dia (pihak tertentu) kata nak derhaka kepada Yang di-Pertuan Agong. Saya Perdana Menteri, petang tadi Yang di-Pertuan Agong telefon, hubungan kita baik.
“Tuanku melihat sudah lama, empat tahun Najib dipenjara dan mahu diberikan tahanan rumah. Tetapi itu bukan kuasa saya. Kuasa saya ialah mengikut hukum,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Sembang Santai di Ayer Molek pada Khamis.
Beliau mengulas dakwaan kononnya terdapat pihak yang ingkar terhadap titah Yang di-Pertuan Agong berhubung pelaksanaan tahanan rumah Najib.
Anwar turut mempersoalkan pihak yang mendakwa wujud perbuatan derhaka, sedangkan kerajaan perlu memastikan setiap tindakan dilaksanakan mengikut lunas undang-undang.
“Kalau saya salah, kuasa saya salah. Tetapi dalam sistem kita, ada yang derhaka. Siapa yang derhaka?
“Peguam Negara mengambil masa kerana beliau menjaga undang-undang. Tuanku bertitah, Peguam Negara kata ya. Kita ikut proses, kena bawa ke mahkamah dan mahkamah putuskan bila boleh dilaksanakan. Itu sahaja,” katanya.
Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan Najib tertakluk kepada beberapa syarat dan sekatan ketat sepanjang menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Antara syarat ditetapkan termasuk kewajipan menetap di kediaman yang diwartakan di Jalan Langgak Duta, larangan berpindah atau keluar dari premis tanpa kebenaran bertulis serta sekatan terhadap pergerakan dan lawatan.
Najib juga tertakluk kepada sekatan penggunaan telefon dan peranti telekomunikasi, selain tidak dibenarkan membuat kenyataan media, menggunakan platform media sosial atau menghadiri majlis keramaian.
Saifuddin berkata, syarat berkenaan berdasarkan ketetapan Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong pada 18 September, selain kawalan tambahan oleh Jabatan Penjara Malaysia.