HANG TUAH JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim belum menerima peletakan jawatan Anthony Loke sebagai Menteri Pengangkutan, meskipun Setiausaha Agung DAP itu sudah mengumumkan keputusannya.
Anwar berkata, beliau mahu mengadakan rundingan semula dengan Loke sekiranya pemimpin DAP itu tetap berhasrat meninggalkan Kabinet.
“Anthony memang tulis surat kepada saya serta-merta, tetapi saya sebagai Perdana Menteri belum terima surat peletakan jawatan dia.
“Nak cuti boleh, tapi nak letak jawatan dia kena runding semula,” katanya ketika berucap pada Ceramah ‘Jelajah Harapan Melaka Rumah Kita’ di sini hari ini.
Anwar turut memuji Anthony sebagai seorang menteri yang amanah dan bersih, selain menyifatkan prestasinya dalam menerajui Kementerian Pengangkutan sebagai memuaskan.
“Apa masalah kerja dia? Antara menteri yang banyak tolong rakyat berkenaan masalah pengangkutan.
"Saya tanya pegawai Melayu, dia diterima baik oleh pegawai Melayu di Kementerian Pengangkutan,” katanya lagi.
Bagaimanapun, usaha pengamal media mendapatkan reaksi Anthony sejurus beliau keluar dari tandas bergerak tidak berhasil apabila pemimpin DAP itu sekadar melambai sebelum menaiki kereta meninggalkan pekarangan tapak ceramah.
Terdahulu, Anthony mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa serta-merta pada 10 November lalu, susulan keputusan mahkamah membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah.
Keputusan itu dibuat susulan pendirian DAP yang membantah pemberian tahanan rumah kepada Najib, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kedudukan parti berkenaan dalam Kabinet.
Anthony sebelum ini menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Anwar pada 28 September lalu, namun Perdana Menteri mahu perkara itu dibincangkan terlebih dahulu.
Kenyataan terbaharu Anwar itu sekali gus menyaksikan status peletakan jawatan Loke masih belum dimuktamadkan, meskipun pemimpin DAP berkenaan sudah mengumumkan pengundurannya daripada Kabinet.