KUALA LUMPUR: Pertumbuhan ekonomi yang kukuh perlu diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan pekerja menerusi pengagihan keuntungan yang lebih seimbang, peningkatan produktiviti serta pembangunan kemahiran tenaga kerja.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, antara isu yang perlu diberi perhatian ialah bahagian keuntungan syarikat yang masih lebih banyak mengalir kepada pemilik berbanding pekerja.
"Kalau kita lihat dari segi pengagihan keuntungan, kebanyakannya pergi kepada pemilik, bukan kepada pekerja. Jadi ini yang kita perlu perbetulkan," ujar beliau dalam temu bual eksklusif menerusi program Niaga AWANI yang disiarkan pada Jumaat.
Menurut Abdul Rasheed, kebergantungan tinggi terhadap pekerja asing bergaji rendah turut menjadi antara faktor yang mengehadkan tekanan kepada syarikat untuk meningkatkan gaji pekerja.
Katanya, langkah kerajaan termasuk pendekatan berkaitan levi pekerja asing mampu mengurangkan kebergantungan terhadap buruh murah, sekali gus menggalakkan syarikat meningkatkan produktiviti.
Pada masa sama, beliau berkata, penggunaan automasi dan teknologi perlu disertai usaha meningkatkan kemahiran tenaga kerja supaya syarikat mampu menghasilkan output yang lebih tinggi dengan penggunaan sumber yang lebih cekap.
"Kita perlu melatih, reskill dan upskill pekerja supaya mereka mampu memenuhi permintaan industri terhadap pekerjaan bermutu tinggi yang terhasil daripada pelaburan bernilai tinggi yang masuk ke negara kita," katanya.
Menurut beliau, usaha itu menjadi semakin penting ketika Malaysia terus menarik pelaburan bernilai tinggi yang memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Dalam pada itu, Abdul Rasheed berkata, kestabilan harga perlu terus dipelihara bagi melindungi kuasa beli rakyat, di samping memastikan produktiviti dan pendapatan terus meningkat.
Beliau turut berharap perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menjadi lebih berdaya tahan, lebih berdaya saing serta mampu bergerak ke kedudukan yang lebih tinggi dalam rantaian nilai.
"Saya mahu memastikan kadar inflasi kekal stabil dan terkawal kerana ini penting untuk melindungi kuasa beli rakyat. Saya juga ingin melihat produktiviti dan pendapatan rakyat meningkat, PMKS lebih berdaya tahan dan berdaya saing, serta kesejahteraan rakyat terus meningkat," katanya.
Katanya, kemajuan dalam aspek tersebut penting bagi memastikan Malaysia kekal berada pada landasan kukuh ke arah mencapai status negara maju.