Empat komponen utama dikenal pasti sebagai elemen penting dalam pembangunan dan kelestarian sesebuah syarikat.

Elemen pertama, menurut Pengurus Besar Kanan Komunikasi Kumpulan PETRONAS, Liz Kamaruddin adalah model perniagaan yang baik.

Menurut Liz lagi, model tersebut harus memberikan nilai kepada masyarakat ke arah membentuk sebuah syarikat lebih lestari.

"Produk, servis, peluang dan apa juga yang ditawarkan oleh PETRONAS mestilah sesuatu yang diperlukan orang ramai, dan memenuhi kehendak pelanggan.

"Jika apa yang ditawarkan oleh syarikat itu diperlukan oleh masyarakat untuk jangka masa yang panjang, maka syarikat itu akan terus wujud dan berkembang," kata Liz ketika ditemui Astro AWANI selepas ucaptamanya di persidangan Sustainable Brands Kuala Lumpur pada Isnin.

Kedua, menurutnya adalah penjenamaan syarikat yang baik akan mendapatkan kepercayaan orang ramai.

Ini kerana jenama merupakan 'anggapan' atau 'perasaan' pasaran terhadap produk, servis, pekerja, pemimpin, aset, aktiviti dan apa juga yang berkenaan dengan syarikat tersebut.

Selain itu, penglibatan langsung syarikat dalam membangunkan masyarakat menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR) pula dapat memastikan komuniti dan masyarakat terus menyokong sesebuah syarikat.

"Dengan CSR, jenama akan bersama-sama dengan pengguna untuk melakukan perubahan.

"Keempat, adalah keinginan untuk terus maju dan berinovasi. Kita kena sentiasa tengok teknologi baru dan cuba berinovasi agar kekal relevan di masa akan datang," tambahnya.

Tambah Liz, sebagai sebuah jenama global, PETRONAS mempunyai cara tersendiri dalam mengekalkan imej yang positif di serata dunia.

Sustainable Brands Kuala Lumpur berlangsung selama dua hari memperlihatkan bagaimana jenama boleh memanfaatkan inovasi baharu untuk meningkatkan kemampanan dalam operasi dan penjenamaan.

Acara tersebut yang buat pertama kalinya diadakan di Mlaysia dihadiri oleh ketua-ketua pemikir global yang berkongsi perspektif dalam membangunkan dengan inovasi jenama yang bersandarkan kemampanan.