KUALA LUMPUR: Malaysia merupakan antara enam ekonomi utama Asia Pasifik (APAC) yang dijangka mencatat pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebenar lebih pantas berbanding China pada 2026, menurut Moody’s Analytics.
Pencapaian itu jelasnya disokong menerusi pengintegrasian negara ke dalam rantai bekalan kecerdasan buatan (AI).
Dalam laporan yang bertajuk “Asia-Pacific Outlook: RAMpocalypse Now”, Moody’s Analytics menyatakan Taiwan, Singapura, Malaysia, India, Vietnam dan Indonesia diunjur berkembang lebih pantas berbanding China pada tahun ini.
“Pertumbuhan KDNK di rantau APAC akan perlahan pada 2026. Namun, ekonomi yang paling terintegrasi dengan rantaian bekalan AI akan mencatat prestasi berbeza daripada aliran tersebut.
“Taiwan, Korea Selatan, Singapura dan Malaysia akan berkembang lebih pantas pada 2026 berbanding pada 2025. Kesemuanya kecuali Korea Selatan akan mengatasi China pada tahun ini,” menurut Moody’s Analytics.
Laporan itu menunjukkan permintaan yang kukuh terhadap semikonduktor dan produk teknologi lain meningkatkan eksport dari Taiwan, Korea Selatan, China dan beberapa wilayah Asia Tenggara sekali gus mengimbangi kelemahan dalam sektor-sektor lain.
Moody’s Analytics menyatakan eksport barangan nominal dari Korea Selatan dan Taiwan mengatasi eksport Jepun pada separuh pertama 2026 buat kali pertama.
Bagaimanapun, ia mengunjurkan pertumbuhan ekonomi keseluruhan APAC akan sederhana kepada 4.3 peratus pada 2026 daripada 4.4 peratus pada 2025, sebelum terus perlahan kepada 3.7 peratus pada 2027.
Moody’s Analytics memaklumkan harga yang lebih tinggi dan dasar monetari yang lebih ketat, sebahagiannya berpunca daripada konflik di Asia Barat dijangka menjejaskan permintaan isi rumah serta pelaburan dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan tradisional.
Mengenai dasar monetari, Moody’s Analytics menyatakan Malaysia dan Taiwan mengekalkan kadar faedah tidak berubah walaupun beberapa bank pusat lain di rantau ini mengetatkan dasar monetari, namun kedua-duanya masih mempunyai ruang untuk menaikkan kadar faedah jika perlu.
-- BERNAMA