Skip to main content
Advertisement

Politik

PRU16: PH-BN boleh bertembung, kerjasama semula ‘tak mustahil’ - Fahmi

71684742066_TBBENDERAPRU.jpg
Saya nampak satu pilihan ialah ada persefahaman politik yang terhad atau bersyarat, contohnya mengenai kerusi masing-masing (Pakatan Harapan) dan (Barisan Nasional), ujar Fahmi. - Foto hiasan
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) boleh mencapai persefahaman pembahagian kerusi atau bertanding secara berasingan dalam pilihan raya akan datang.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, pilihan itu bergantung kepada keadaan politik di setiap negeri.

“Saya nampak satu pilihan ialah ada persefahaman politik yang terhad atau bersyarat, contohnya mengenai kerusi masing-masing,” katanya.

Menurutnya, seperti yang berlaku di Sabah, 90 hingga 95 peratus kerusi antara parti boleh tidak bertindih, walaupun mereka mungkin bertembung di beberapa kerusi.

“Itu satu pilihan. Kedua ialah bertanding sendiri,” katanya dalam wawancara bersama The Tiger Show Podcast yang disiarkan Astro AWANI hari ini.

Fahmi berkata, corak kerjasama dalam pilihan raya negeri tidak semestinya mencerminkan pendekatan parti pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Ditanya sama ada PH dan BN boleh bekerjasama semula selepas PRU16 jika kedua-duanya bertembung dalam pilihan raya itu, beliau menjawab: “Tak mustahil.”

Beliau merujuk pembentukan Kerajaan Perpaduan selepas PRU15 sebagai contoh kerjasama antara parti bagi membentuk kerajaan yang stabil.

Ditanya mengenai ‘garis merah’ PH dalam kerjasama dengan BN, Fahmi berkata, perbezaan pendirian politik boleh diketepikan apabila keadaan menuntut parti-parti bekerjasama.

Bagaimanapun, beliau menegaskan PH tidak akan menggadaikan pegangannya terhadap keluhuran Perlembagaan, kedaulatan undang-undang serta kesetiaan kepada raja dan negara.

“Itu pegangan. Itu garis merah. Kalau tanya saya, itulah garis merah yang sebenar,” katanya lagi.

 

 

Must Watch Video

Advertisement