KUALA LUMPUR: Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ETCon26) tampil sebagai platform strategik untuk memperkukuh integrasi kecerdasan buatan (AI) dalam sistem tenaga negara, selari dengan keperluan mempercepatkan agenda peralihan tenaga yang lebih mampan dan berdaya tahan.
Ketua Pegawai Digital dan Maklumat Tenaga Nasional Berhad (TNB), Azlan Ahmad berkata, penganjuran ETCon26 hadir pada masa kritikal ketika Malaysia memperhebat usaha mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050 di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Beliau berkata, ETCon26 juga merupakan kesinambungan usaha bermula pada edisi 2023, ketika NETR dilancarkan oleh Perdana Menteri bagi memperkukuh komitmen Malaysia ke arah mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
Azlan berkata, pihaknya turut berbesar hati kerana Perdana Menteri dijadual merasmikan persidangan itu pada hari kedua persidangan nanti, mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam menerajui agenda peralihan tenaga negara, khususnya melalui integrasi teknologi dan kecerdasan buatan (AI).
Menurut beliau, edisi kali ini mengangkat tema “Tenaga & AI: Sinergi Memacu Peralihan Tenaga”, dengan memberi fokus kepada bagaimana sinergi antara tenaga dan teknologi digital mampu membentuk masa depan sektor tenaga yang lebih pintar dan mampan.
“ETCon26 bukan sekadar forum perbincangan, tetapi platform untuk menterjemahkan idea kepada pelaksanaan sebenar, melibatkan industri, inovator dan masyarakat,” katanya.
Konsep 'AI untuk Tenaga' menjadi antara teras utama ETCon26 selain ‘Tenaga untuk AI’ dan ‘Peralihan Tenaga untuk Rakyat’, dengan penekanan kepada penggunaan AI sebagai enjin pemacu kecekapan sistem bekalan elektrik.
Azlan menjelaskan, AI berfungsi sebagai 'minda digital' yang membolehkan sistem tenaga meramal permintaan dan bekalan elektrik, mengoptimumkan aliran tenaga serta mengesan potensi gangguan lebih awal.
Perkembangan ini menjadi semakin penting susulan peningkatan penggunaan tenaga boleh baharu seperti solar serta kenderaan elektrik, yang menjadikan pengurusan grid lebih kompleks berbanding sebelum ini.
Melalui integrasi AI, pengurusan sistem tenaga negara kini beralih daripada pendekatan reaktif kepada proaktif, termasuk keupayaan mengenal pasti risiko sebelum gangguan berlaku.
“Ini bukan lagi konsep masa depan. AI sudah digunakan di lapangan untuk memastikan sistem tenaga lebih stabil, cekap dan responsif,” jelas beliau.
Azlan berkata, antara aplikasi AI yang telah digunakan TNB termasuk Sistem Analitik Grid (Grid Advisor) bagi mengenal pasti corak gangguan (tripping) dan membolehkan tindakan pencegahan diambil lebih awal.
Dalam rangkaian pembahagian elektrik pula, AI turut digunakan menerusi Penyelenggaraan Ramalan Kabel Bawah Tanah, yang membantu mengesan tanda awal kerosakan kabel bawah tanah sebelum gangguan berlaku.
“Di lapangan pula, Sistem Sokongan Visual Pintar membantu menilai kualiti kerja penyambungan kabel, sekali gus mengurangkan keperluan kerja semula dan memastikan standard kerja yang lebih optimum,” katanya.
ETCon26 turut mengetengahkan pembangunan grid sedia AI (AI-ready grid) sebagai asas kepada sistem tenaga moden.
Menurut Azlan, pembangunan grid sedia AI menandakan perubahan besar dalam pengurusan sistem tenaga negara, daripada pendekatan reaktif yang bertindak selepas gangguan berlaku kepada pendekatan lebih proaktif menerusi keupayaan mengenal pasti risiko lebih awal.
Dalam operasi harian, pendekatan itu direalisasikan melalui keupayaan seperti Ramalan Beban Berlebihan Secara Dinamik dan analisis gangguan berasaskan AI bagi membantu jurutera mengenal pasti corak gangguan berulang serta mengambil tindakan pencegahan dengan lebih berkesan.
Bagi pengurusan aset pula, penggunaan Indeks Kesihatan Aset Berasaskan Ramalan membantu menentukan keutamaan penyelenggaraan berdasarkan keadaan sebenar aset, sekali gus mengurangkan risiko kegagalan sistem.
Beliau berkata asas digital itu juga memperkukuh kesediaan Malaysia terhadap integrasi tenaga serantau melalui ASEAN Power Grid (APG), disokong oleh keterlihatan operasi sistem yang lebih menyeluruh serta pengurusan data yang lebih tersusun.
Integrasi AI dalam sistem tenaga turut memberi impak langsung kepada pengguna dan perniagaan termasuk penjimatan kos melalui pemantauan penggunaan tenaga, kestabilan bekalan elektrik yang lebih tinggi serta kesediaan untuk teknologi masa depan seperti kenderaan elektrik dan tenaga solar.
Grid pintar juga membolehkan sistem 'pulih sendiri', di mana gangguan dapat dikenal pasti dan dipulihkan dengan lebih pantas, sekali gus mengurangkan risiko kerugian kepada pengguna dan industri.
Dalam masa sama, ETCon26 dilihat sebagai platform penting yang menghubungkan agenda ekonomi negara dengan perkembangan teknologi, khususnya dalam memacu ekosistem tenaga digital.
ETCon26 dijadual berlangsung dari 3 hingga 5 Jun di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), menghimpunkan pemimpin industri, pakar teknologi dan pembuat dasar bagi membincangkan masa depan tenaga serantau.
“Dengan penekanan terhadap integrasi AI, persidangan ini dijangka menjadi pemangkin penting dalam mengukuhkan sistem tenaga negara agar lebih pintar, berdaya tahan dan bersedia menghadapi cabaran masa depan,” ujarnya dalam temu bual khas program Niaga AWANI pada Rabu.
Orang ramai yang berminat menghadiri ETCon26 boleh mendapatkan maklumat lanjut dan mendaftar menerusi laman web rasmi persidangan di www.the-etconference.com, menggunakan kod promosi ETCON26ASTRO untuk menikmati tawaran istimewa.