Skip to main content

Bisnes

FAMA perkukuh ekosistem pemasaran digital sektor agromakanan

61638716335_FAMA.jpg
Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memperkukuh ekosistem pemasaran digital sektor agromakanan negara menerusi penganjuran Seminar Agroborong Malaysia 2026: Sesi Libat Urus Platform Agroborong.com, yang menghimpunkan kira-kira 200 peserta daripada pelbagai segmen industri.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memperkukuh ekosistem pemasaran digital sektor agromakanan negara menerusi penganjuran Seminar Agroborong Malaysia 2026: Sesi Libat Urus Platform Agroborong.com, yang menghimpunkan kira-kira 200 peserta daripada pelbagai segmen industri.

FAMA dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan, seminar itu, memberi tumpuan kepada pengukuhan platform Agroborong.com, peningkatan akses pasaran, pengukuhan rantaian bekalan makanan negara serta perluasan penggunaan teknologi digital dalam kalangan usahawan agromakanan, selaras aspirasi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Agroborong.com merupakan platform perdagangan digital berkonsep perniagaan kepada perniagaan (B2B), yang menghubungkan pengeluar dengan pemborong, peruncit, pembeli institusi dan pemain industri secara terus, dalam ekosistem pemasaran yang lebih tersusun, telus dan efisien.

“Sehingga kini, Agroborong.com telah merekodkan sebanyak 4,348 pengguna berdaftar dengan hampir 1,000 pengguna aktif, terdiri daripada pengeluar dan pembeli dalam pelbagai subsektor agromakanan.

“Pencapaian ini membuktikan penerimaan positif industri terhadap penggunaan platform digital, dalam memperkukuh jaringan pemasaran hasil agromakanan negara,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan FAMA itu, seminar berkenaan turut menjadi platform mendapatkan maklum balas pemain industri, bagi menambah baik sistem sedia ada supaya terus relevan dengan keperluan pasaran yang semakin dinamik, selain memberi pendedahan mengenai penggunaan Agroborong.com serta peluang pembiayaan dan sokongan perniagaan agromakanan oleh Agrobank.

Majlis itu turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara FAMA dan Crop Power Sdn Bhd, bagi memperkukuh kerjasama dalam pelaksanaan Malaysia Farming Award (MFA), platform pengiktirafan nasional yang memberi fokus kepada kecemerlangan petani menerusi aspek produktiviti, inovasi, penggunaan teknologi moden dan amalan pertanian baik.

Kenyataan itu memaklumkan, kerjasama strategik itu, dijangka memperluas penggunaan teknologi digital, memperkukuh jaringan industri serta membuka lebih banyak peluang kolaborasi antara sektor awam dan swasta, dalam mempercepatkan transformasi sektor agromakanan negara, sekali gus meningkatkan daya saing usahawan tempatan pada peringkat domestik dan global.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement