BISNES
Fasa 3 e-Invois bermula hari ini, libat pembayar cukai RM5 hingga RM25 juta

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi Percukaian) Hasil Shaharuddy Othman pada sidang media sempena Majlis Pelancaran dan Sidang Media Pelaksanaan e-Invois Bagi Pembayar Cukai Fasa 3 di Menara Hasil hari ini. - Foto Bernama
CYBERJAYA: Fasa tiga pelaksanaan sistem e-Invois melibatkan pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM5 juta hingga RM25 juta bermula hari ini.
Ringkasan AI
- Fasa tiga e-Invois bermula 1 Julai 2025, melibatkan sekitar 55,000 pembayar cukai dengan pendapatan tahunan RM5 juta hingga RM25 juta, menyusuli kejayaan fasa satu dan dua yang mencatat lebih 352 juta e-Invois dikemukakan.
- Fasa empat dan lima akan bermula pada 2026, masing-masing untuk pembayar cukai berpendapatan RM15 juta (1 Jan) dan bawah RM1 juta (1 Julai), sebagai sebahagian daripada pelaksanaan berperingkat sistem e-Invois.
- LHDN turut melancarkan Sistem MyInvois e-POS secara percuma, khusus untuk PMKS berpendapatan bawah RM750,000, bagi memudahkan pelaksanaan e-Invois melalui fungsi POS digital seperti pengurusan jualan, inventori dan pelaporan kewangan
"Jadi kita berharap kadar penyertaan itu sama seperti fasa satu dan dua. Sehingga kini, sebanyak 352 juta e-Invois telah dikemukakan pembayar cukai," katanya pada sidang media berhubung pelaksanaan e-Invois fasa tiga di sini hari ini.
Pelaksanaan fasa empat dan lima, masing-masing membabitkan pendapatan melebihi RM1 juta hingga RM5 juta bermula 1 Jan 2026 manakala bagi kumpulan berpendapatan sehingga RM1 juta bermula 1 Julai 2026.
Selain itu, LHDN juga melancarkan Sistem MyInvois e-POS, iaitu platform digital Point-of Sale (POS) secara percuma yang diperluaskan kemudahan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan pendapatan atau jualan tahunan bawah RM750,000.
Sistem MyInvois e-POS direka khas untuk PMKS bagi memudahkan pelaksanaan e-Invois dengan mengintegrasikan fungsi utama perniagaan seperti perekodan jualan, pengurusan inventori, pelaporan kewangan dan sokongan e-Invois.
Menurut Shaharrudy, sistem itu juga bertujuan membantu PMKS meningkatkan kecekapan operasi perniagaan serta memudahkan pelaksanaan e-Invois.
"Sehubungan itu, LHDN mempelawa pembayar cukai yang layak dan berminat untuk mendaftar bagi menggunakan Sistem MyInvois e-POS yang kini telah dibuka.
"Kami juga telah menyediakan Sistem dan Portal MyInvois serta Aplikasi MyInvois bagi membolehkan pembayar cukai melaksanakan e-Invois. Platform ini disediakan secara percuma kepada semua pembayar cukai terutama dalam menyokong PMKS dan memastikan ketersediaan pelaksanaan e-Invois," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami