KUALA LUMPUR: Indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) memulakan dagangan Khamis dengan lebih tinggi, meskipun prestasi semalaman Wall Street sebaliknya rendah ketika peniaga terus bersikap berhati-hati menjelang pengumuman data perbelanjaan penggunaan Amerika Syarikat (AS) pada lewat hari ini.

Pada 9.17 pagi, FBM KLCI menokok 1.94 mata kepada 1,547.53 daripada paras 1,545.59 di akhir dagangan semalam.

Sewaktu pasaran dibuka, indeks berkenaan naik 2.03 mata kepada 1,547.62.

Bagaimanapun, sentimen pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 390 berbanding 187 manakala 289 kaunter lain tidak berubah; 1,424 tidak didagangkan dan 43 lain digantung dagangannya.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata prestasi semalaman Wall Street susut dengan Purata Perindustrian Dow Jones ditutup merosot 23 mata manakala Nasdaq menguncup 88 mata susulan hasil Perbendaharaan 10 tahun AS turun kepada 4.266 peratus.

Selain itu, Indeks Hang Seng Hong Kong merosot 254 mata yang juga prestasi terburuknya dalam tempoh empat minggu apabila peniaga memutuskan untuk mengambil keuntungan.

"Bagaimanapun, kalangan pemaju Hong Kong mendapat suntikan rangsangan berikutan pembatalan sekatan ke atas urus niaga hartanah," katanya kepada Bernama.

Di pasaran tempatan, beliau menyifatkan pemulihan segera diperlukan bagi mengekalkan sentimen keyakinan bagi memacu aliran peningkatan indeks.

"Oleh itu, kami menjangkakan indeks itu mungkin berlegar dalam lingkungan 1,545.pada hari ini," katanya.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank dan CIMB masing-masing naik dua sen kepada RM9.53 dan RM6.45; Public Bank menokok satu sen kepada RM4.44; Tenaga Nasional meraih enam sen kepada RM11.02 dan Petronas Chemicals meningkat lima sen kepada RM6.90.

Bagi saham aktif, MY E.G. Services menambah 2.5 sen kepada 81.5 sen; Velesto Energy naik satu sen kepada 29 sen; Ekovest turun 2.5 sen kepada 45 sen manakala Hong Seng Consolidated dan Bumi Armada tkekal pada 1.5 sen dan 52 sen.

Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas turun 7.20 mata pada 11,456.43; Indeks FBMT 100 susut 7.72 mata kepada 11,123.62; Indeks FBM Emas Shariah merosot 12.67 mata kepada 11,470.29; Indeks FBM 70 kehilangan 66.94 mata kepada 15,371.69 dan Indeks FBM ACE berkurangan 17.10 mata kepada 4,748.14.

Bagi prestasi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 29.67 mata kepada 17,329.30; Indeks Perladangan menokok 1.21 mata kepada 7,156.93 namun Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.37 mata kepada 175.57 manakala Indeks Tenaga susut 2.49 mata kepada 922.15.

-- BERNAMA