Fed kekal kadar faedah di sebalik tekanan White House

Pengerusi Fed Jerome Powell berkata data yang diterima sejak mesyuarat terdahulu menunjukkan perkembangan positif. - Foto REUTERS
WASHINGTON: Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat mengekalkan kadar faedah penanda aras pada paras 3.5 - 3.75 peratus meskipun berdepan tekanan politik untuk menurunkan kos pinjaman.
Dalam kenyataan selepas mesyuarat dasar terbaharu, Fed berkata ekonomi AS terus berkembang pada kadar yang kukuh, manakala pasaran pekerjaan menunjukkan tanda-tanda penstabilan dengan pertumbuhan pekerjaan rendah tetapi kadar pengangguran sedikit menurun.
Dua pegawai, Stephen Miran dan Christopher Waller mengundi untuk pemotongan kadar, namun majoriti ahli Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) berpandangan data ekonomi semasa menyokong langkah mengekalkan dasar sedia ada.
Pada sidang media selepas mesyuarat, Pengerusi Fed Jerome Powell berkata data yang diterima sejak mesyuarat terdahulu menunjukkan perkembangan positif.
“Jika kita melihat data yang diterima sejak mesyuarat lalu, terdapat peningkatan jelas dalam unjuran pertumbuhan.
“Inflasi bergerak seperti yang dijangka dan beberapa data pasaran buruh menunjukkan bukti penstabilan. Secara keseluruhan, ia memberikan unjuran yang lebih kukuh," ujarnya pada sidang media tersebut.
Sementara itu, pasaran turut tertumpu kepada kedudukan Pengerusi Fed Jerome Powell yang dijangka tamat penggal pada Mei.
Presiden Donald Trump berkali-kali mengkritik Powell dan dijangka menamakan pengganti dalam masa terdekat.
Perkembangan ini berlaku ketika sebuah siasatan jenayah persekutuan sedang berjalan berhubung keterangan Powell kepada Senat mengenai kerja-kerja pengubahsuaian bangunan Fed.
Tumpuan juga terarah kepada calon yang akan menggantikan Powell.
Antara yang muncul sebagai pilihan utama ialah eksekutif BlackRock, Rick Rieder, yang dikatakan antara nama paling kuat dipertimbangkan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


