Felcra Niaga Sdn Bhd, anak syarikat Felcra Berhad, mampu menjana pendapatan tambahan sebanyak RM280 juta setahun dengan melebarkan pasaran produknya kepada gerakan koperasi perladangan.

Pengerusinya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata terdapat 1,300 buah koperasi di negara ini yang terlibat dalam sektor perladangan kelapa sawit membabitkan kawasan perladangan melebihi 100,000 hektar.

"Felcra Niaga dapat menjalin kerjasama dengan gerakan koperasi ini dengan memberi bekalan sumber produk (penyelenggaraan ladang) yang terjamin pada harga yang kompetitif," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Hari Keluarga dan Anugerah Khidmat Cemerlang Felcra Niaga Sdn Bhd di sini malam tadi.

Menurutnya, kerjasama dengan gerakan koperasi tersebut dapat menjadi permulaan kepada Felcra Niaga untuk memperluaskan lagi pasaran produknya yang melibatkan baja dan racun rumpai berteknologi tinggi untuk penyelenggaraan ladang sawit.

Abdul Fattah yang juga Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) berkata setiap ladang yang diusahakan oleh koperasi itu bukan berskala besar dan sumber penyelenggaraannya tidak seragam.

"Di sinilah Felcra Niaga dapat memainkan peranannya untuk membekalkan produk pada kuantiti yang sesuai bagi keperluan ladang gerakan koperasi ini," katanya.

-- BERNAMA