Felda Mobile Sdn Bhd menyasar untuk menarik 500,000 peneroka Felda di seluruh negara bagi melanggan produk dan perkhidmatan di bawah usaha sama penyedia perkhidmatan digital mudah alih (MDSP) dengan Tune Talk Sdn Bhd dalam tempoh dua tahun setengah hingga tiga tahun lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif Felda Mobile Mohamed Shah Redza Hussein berkata fasa pertama usaha sama ini akan bermula Disember ini dan syarikat tersebut merancang untuk melancarkan perkhidmatan nilai tambahan digital termasuk sistem penghantaran pesanan dilengkapi dengan sistem pemberitahuan dan perkhidmatan pengiriman.

Perkhidmatan tersebut boleh diguna pakai melalui kad SIM prabayar untuk peneroka dan akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.

"Kami sedang dalam proses mengeluarkan kad SIM dan kemudian mengagihkannya kepada rangkaian penjual kami, yang kini sedang dibentuk dalam komuniti Felda," kata beliau kepada pemberita selepas menandatangani perjanjian dengan Tune Talk di sini pada Selasa.

Turut hadir ialah Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan Ketua Pegawai Eksekutif Tune Talk Jason Lo.

Mohamed Shah Redza berkata Felda Mobile menyasarkan untuk membentuk MDSP sepenuhnya khusus untuk komuniti Felda, yang merangkumi entiti Korporat Felda dan peneroka Felda. Seterusnya syarikat tersebut akan mengembangkan perkhidmatan kepada pascabayar pada awal tahun hadapan.

Felda Mobile adalah usaha sama antara Koperasi Permodalan Felda Malaysia 2 Bhd (KPF2) dan Niche Impact Sdn Bhd, dan disokong oleh pelbagai rakan kongsi dalam bidang teknologi dan nilai tambah digital.

KPF2 memiliki kepentingan 30 peratus dalam usaha sama tersebut manakala Niche Impact menguasai baki 70 peratus.

Tune Talk merupakan pengendali teknologinya dan rakan kongsi penjenamaan, manakala Celcom adalah penyedia infrastruktur telekomunikasi.

"Tiada pelaburan kewangan daripada Felda untuk usaha sama ini, sebaliknya mereka menyediakan pelanggan. Keseluruhan dana sebanyak RM7 juta untuk Felda Mobile disediakan oleh Niche Impact," kata Mohamed Shah Redza. -- Bernama