JOHOR BAHRU: FGV Holdings Bhd (FGV) menyasarkan penurunan 30 peratus pengambilan tenaga buruh dengan meluaskan penggunaan mekanisasi kejenteraan untuk meningkatkan produktiviti, kata Pengarah Bahagian Kumpulan, Sektor Perladangan FGV, Mohd Sarian Md Sahid.

Beliau berkata ukuran tanah sebenar adalah lebih kurang 360,000 hektar dan FGV telah melaksanakan mekanisasi sepenuhnya untuk melakukan penambahbaikan dengan menggunakan pendekatan mekanisasi tumbuhan.

Tambah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Mohd Nazrul Izam Mansor, antara tumpuan FGV ketika ini adalah kepada akses mekanisasi seluas 90,000 hektar iaitu kira-kira satu per tiga daripada ukuran keluasan tanah.

“Namun, kos pelaburan mekanisasi ini juga tertakluk kepada harga CPO sekarang yang menjadi penyumbang kepada peningkatan kos tetapi kos ini dapat diganti balik kemudiannya dengan margin yang kami buat melalui produktiviti yang lebih tinggi,” kata Mohd Nazrul.

Walaubagaimanapun, Mohd Nazrul menegaskan banyak perkara yang masih perlu diteliti dengan mengambil kira asas tertentu yang membolehkan mereka untuk menggunakan mekanisasi termasuk asas yang tidak membenarkannya.

Di samping itu, FGV terus komited mengatur strategi dalam mendepani beberapa cabaran seperti tekanan kawal selia untuk mengekalkan kemampanan perniagaan, isu pekerja, ukuran kos termasuk juga dengan pesaing syarikat lain yang mengusahakan perkara sama.

“Jadi kita perlu pastikan perniagaan hiliran kami kekal kehadapan dengan memperbanyakkan lagi kreativiti pembahagian produk dan pemasaran,

“Kami merasakan ini adalah masa terbaik untuk menunjukkan keupayaan FGV dalam menavigasi persekitaran yang mencabar dan meneruskan agenda keselamatan makanan negara," katanya.

Pada masa sama, tiga perniagaan teras semasa FGV ketika ini iaitu perladangan, perdagangan dan logistik akan terus dikekal serta diperkukuhkan.