KUALA LUMPUR: Dolomite Corporation Berhad akan dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia pada 28 April ini selepas diarahkan Mahkamah Tinggi untuk penggulungan operasi selepas gagal melunaskan hutang sebanyak AS$38.19 juta (RM177.38 juta) pada Oktober 2022.

“Keseluruhan modal saham terbitan Dolomite akan dikeluarkan daripada senarai rasmi Bursa Securities,” kata syarikat itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

Dolomite sebelum ini disaman oleh Maybank International cawangan Labuan berhubung hutang itu pada September 2020 dan mahkamah memberi tempoh sehingga 4 Oktober kepada syarikat itu untuk menjelaskan jumlah tertunggak atau menggulung operasi.

Hutang itu adalah berhubung kemudahan pinjaman berjangka yang diberikan oleh Maybank kepada Dolomite Power-Shandong (HK) Ltd, anak syarikat milik penuh Dolomite Technology (HK) Ltd, yang seterusnya merupakan unit milik penuh Dolomite.

Dolomite, yang terlibat dalam pembangunan hartanah, pembinaan dan aktiviti perlombongan pasir, jatuh ke dalam status Nota Amalan 17 (PN17) pada Mei 2021 selepas juruaudit luarnya Baker Tilly Monteiro Heng PLT menyatakan penafian pendapat mengenai penyata kewangan kumpulan bagi tahun berakhir 31 Disember 2020 kerana ia tidak dapat memperoleh bukti audit yang cukup sesuai untuk menyediakan asas bagi pendapat audit.

Mahkamah Tinggi pada 4 Oktober lalu melantik Datuk Adam Primus sebagai pelikuidasinya.

Pada 2 November, pelikuidasi berkata, tiada rancangan untuk merangka pelan penyusunan semula.

Pada 20 Januari 2021, Mahkamah Rayuan membuat keputusan penting bahawa syarikat itu mesti dinyahsenarai sebaik sahaja ia disampaikan dengan perintah penggulungan.

Mahkamah rayuan membuat keputusan itu selepas menolak rayuan terhadap keputusan yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi dalam saman yang dibawa oleh Bursa Malaysia terhadap Mohd Afrizan Husain sebagai pelikuidasi bagi Wintoni Group Berhad. -DagangNews.com