Dengan semakin banyak peranti dan telefon pintar dihubungkan ke atas talian kini, keselamatan siber kini menjadi satu aspek yang tidak boleh diabaikan dalam hidup seorang pengguna moden.

Namun dengan semua kemajuan yang telah dicapai, adakah tahap keselamatan siber di Malaysia cukup kukuh untuk menangkis semua ancaman siber di luar sana?

Wartawan Astro AWANI, Luqman Hariz menemu bual Ketua Pegawai Eksekutif syarikat keselamatan siber antarabangsa F-Secure, Christian Fredrikson untuk mengupas lebih lanjut tentang perkara itu.

Kelemahan siber PKS mungkin menjadi lubuk?

Kata Fredrikson, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan adalah antara entiti paling terdedah kepada serangan siber di Malaysia.

Ini perkara yang membimbangkan, kerana PKS membentuk sebahagian besar daripada ekonomi Malaysia.

Ini bermakna ekonomi negara secara keseluruhannya berupaya terjejas jika keselamatan siber PKS terus lemah.

Kata Fredrikson, 74 peratus PKS Malaysia menjadi mangsa serangan siber tahun lalu.
PKS perlu tanya kepada diri sendiri dahulu, apa aset digital mereka yang paling penting untuk dilindungi?

“Anda sebagai PKS perlu tanya kepada diri sendiri, apakah tiga atau lima aset paling penting bagi perniagaan anda, yang tidak boleh dicuri atau dibocorkan?

“Dari situ, anda boleh mula lihat bagaimana untuk melindunginya dalam alam siber dan juga memastikan anda dilatih secukupnya untuk menangani sebarang serangan siber,” katanya.

Sistem kerajaan harus diperkasa lagi

Walaupun sistem dan infrastruktur siber kerajaan semakin kukuh sejak kebelakangan ini, Fredrikson berkata ia masih belum menepati piawaian terbaik untuk menangkis semua jenis serangan siber.

Beliau berkata kerajaan harus meningkatkan pelaburan ke dalam pendidikan dan kemahiran teknologi, baik dalam kalangan pakar tempatan mahupun rakyat.

“Kerajaan perlu membina sistem pendidikan dan keupayaan. Saya tahu Malaysia sudahpun mula melakukannya.

“Perlu ditubuhkan sebuah pusat pembangunan kemahiran teknologi, khas untuk tujuan ini,” katanya.

Beliau menambah, kerajaan juga perlu mempunyai strategi keselamatan siber yang baik.

Apa maknanya kepada pengguna internet?

Menurut Fredrikson, ramai rakyat Malaysia masih khuatir untuk

Pengguna seperti anda adalah kumpulan terbesar yang terdedah kepada serangan siber pada bila-bila masa anda melayari internet.

Malah, anda masih boleh menjadi mangsa serangan siber walaupun ketika tidak berada di atas talian.
Jika kurang rakyat Malaysia berada di atas talian, ini berupaya melembapkan peralihan ke ekonomi digital.

Menurut Fredrikson, orang ramai dilihat masih khuatir untuk menggunakan perkhidmatan atas talian secara sepenuhnya, kerana mereka kurang yakin dengan kekukuhan keselamatan siber negara.

Ini juga katanya, boleh membawa kesan limpahan kepada pertumbuhan ekonomi.

“Jika kita gagal membina 'jambatan' ini dan menarik orang ramai untuk menghubungkan peranti mereka dan meningkatkan penyertaan atas talian, pembangunan ekonomi akan melembap.

“Rakyat dan syarikat khuatir untuk hubungkan peranti mereka dan maklumat mereka. Mereka juga tidak akan gunakan teknologi baru seperti pengkomputeran awan yang membawa pelbagai manfaat.

“Jadi senario ini menjadi satu kekurangan kepada pertumbuhan jika kita hubungkan jurang ini,” katanya.