KUALA LUMPUR: Haily Group Berhad anak syarikat milik penuhnya, Haily Construction Sdn Bhd (Haily Construction) telah menerima Surat Anugerah (LA) daripada Factor Synergy Sdn Bhd bagi projek pembinaan di Kluang, Johor dengan jumlah kontrak sebanyak RM23.7 juta.

Dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia, Haily berkata, kontrak tersebut merangkumi pembinaan 66 unit rumah teres dua tingkat, 1 unit rumah pengawal,1 unit sub-stesen Tenaga Nasional Berhad (TNB), 1 unit pintu masuk ke projek dan  kerja-kerja infrastruktur untuk melaksanakan Fasa 2 projek.

"Kerja-kerja bagi keseluruhan projek hendaklah bermula pada tarikh mula pada 1 November 2021 dan hendaklah disiapkan tidak lewat daripada tarikh siap pada 30 April 2023.

"Tempoh penyiapan kerja-kerja tersebut ialah 18 bulan dari tarikh mula," katanya di sini pada Jumaat.

Sebelum ini Haily Group Bhd melaporkan telah memperoleh kontrak bernilai RM24.5 juta daripada Meridin East Sdn Bhd untuk pembinaan dan penyiapan projek kediaman teres di Plentong, Johor Bahru.

Pengarah Eksekutifnya, See Tin Hai berkata keupayaan syarikat untuk mendapatkan kontrak baharu secara konsisten adalah bukti rekod prestasinya yang terbukti dalam kerja pembinaan berkualiti dan penyampaian projek.

"Walaupun tahun lalu mencabar bagi kebanyakan industri pembinaan, Haily kelihatan berada dalam keadaan baik untuk pertumbuhan selanjutnya," katanya.


Artikel asal di DagangNews