KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini memberi amaran kepada orang ramai agar tidak melabur atau berurusan dengan Hap2py, platform pembiayaan antara rakan setara atau peer-to-peer (P2P financing) yang tidak dibenarkan di Malaysia.

Sehingga kini, SC telah campur tangan dan mengambil beberapa tindakan terhadap Hap2py, termasuk menyenaraikan platform tersebut dalam Senarai Peringatan Pelabur SC, menyekat beberapa laman webnya dan mengeluarkan perintah henti operasi.

Walau bagaimanapun, SC mendapati Hap2py tetap terus mendekati pelabur Malaysia melalui pelbagai cara, termasuk melalui variasi laman webnya1 serta iklan di media sosial.

Di samping itu, didapati terdapat banyak pertanyaan dan aduan terhadap entiti ini daripada orang ramai.

SC memandang serius ketidakpatuhan ini, serta tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan selanjutnya dan/atau sebarang tindakan lain yang wajar, termasuk tindakan penguatkuasaan.

"Hap2py bukan Pengendali Pasaran Diiktiraf (RMO) yang dibenarkan.

"Ia kini mengendalikan platform P2P tanpa mendapatkan kebenaran SC sebagai RMO, yang merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 7(1) (e) yang dibaca bersama Seksyen 34 Akta Perkhidmatan Pasaran Modal 2007," kata SC dalam kenyataan di sini.

Jika sabit kesalahan, individu atau entiti tersebut boleh didenda tidak melebihi RM10 juta atau penjara selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun, atau kedua-duanya sekali.

"Oleh itu, SC menggesa pelabur dan mereka yang ingin mengumpul dana untuk tidak berurusan atau melabur melalui Hap2py," kata suruhanjaya itu lagi.

SC menekankan kepentingan untuk pelabur hanya melabur dengan RMO yang didaftarkan dan dibenarkan oleh SC. Ini kerana RMO berdaftar telah menjalani penelitian kawal selia dan dikehendaki mematuhi garis panduan dengan ketat supaya pelabur dilindungi di bawah undang-undang sekuriti Malaysia - DagangNews.com