Skip to main content

Bisnes

Harga MSM dijangka kekal sekitar RM4,400 setan pada Jun 2026 - MPOC

61753086201_pekerjaladangsawit.jpg
Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka kekal sekitar RM4,400 satu tan pada Jun 2026, disokong oleh dasar biobahan api global, menurut Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC). - Foto fail

KUALA LUMPUR: Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka kekal sekitar RM4,400 satu tan pada Jun 2026, disokong oleh dasar biobahan api global, menurut Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC).

MPOC menyatakan perkembangan terkini dasar biobahan api di Amerika Syarikat (AS) telah meningkatkan daya saing harga minyak sawit di seluruh pasaran utama.

“Minyak sawit kekal sebagai minyak sayuran dengan harga paling kompetitif di India, manakala harga olein sawit di Malaysia juga diniagakan pada diskaun kecil berbanding minyak soya Argentina, satu dinamik harga yang dijangka terus menyokong permintaan minyak sawit," menurutnya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pada Mac 2026, Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA) AS memuktamadkan mandat adunan Standard Bahan Api Boleh Diperbaharui (RFS) yang mencatatkan rekod tertinggi untuk 2026 dan 2027.

"Bagi memenuhi paras jumlah yang bersejarah untuk 2026 dan 2027, EPA menganggarkan pengeluaran dan penggunaan biodiesel serta diesel boleh diperbaharui perlu meningkat lebih 60 peratus berbanding jumlah pada 2025," jelas agensi itu di laman web rasminya.

Sementara itu, MPOC menjangkakan harga minyak sayuran masih berpotensi meningkat pada masa hadapan memandangkan pembetulan harga baru-baru ini yang mungkin mendorong aktiviti pengambilan untung dalam kalangan dana pelaburan dan spekulator.

"Bekalan juga kekal berisiko berikutan ketegangan geopolitik yang belum selesai dan risiko El Nino yang meningkat, yang boleh menambah ketidaktentuan kepada bekalan minyak sayuran global pada musim akan datang," tambah kenyataan itu.

Memetik data daripada Jabatan Meteorologi Malaysia, MPOC menjangkakan El Nino berlangsung antara Jun dan Julai, dengan potensi berterusan sehingga awal 2027.

El Nino biasanya menyebabkan keadaan cuaca yang lebih kering daripada biasa ke Asia Tenggara, sekali gus mengurangkan taburan hujan dan kelembapan tanah serta berpotensi menjejaskan bekalan pertanian serantau.

Mengenai eksport minyak sawit, ia menyatakan gabungan eksport minyak sawit dari Malaysia, Indonesia dan Thailand meningkat 1.9 juta tan pada suku pertama 2026.

Bagaimanapun, ia memaklumkan trend berkenaan dijangka menunjukkan penurunan antara April dan September 2026, dengan firma analisis pasaran minyak dan lemak global, Oil World, mengunjurkan gabungan eksport dari ketiga-tiga negara itu akan merosot sebanyak dua juta tan pada suku kedua dan ketiga, terutamanya disebabkan oleh eksport Indonesia yang lebih rendah.

"Eksport Malaysia diunjurkan meningkat sebanyak 400,000 tan sepanjang tempoh itu, manakala eksport Indonesia dijangka merosot 1.7 juta tan berikutan lebih banyak minyak sawit beralih untuk kegunaan tenaga domestik.

"Kesannya, peningkatan mendadak dalam stok minyak sawit di Asia Tenggara tidak mungkin berlaku semasa musim puncak pengeluaran yang akan datang," tambahnya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement