GEORGE TOWN: Kerajaan negeri menerusi Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) menganugerahkan permohonan cadangan projek (RFP) bagi projek kereta kabel Bukit Bendera kepada syarikat Hartasuma Sdn Bhd., melibatkan anggaran pelaburan berjumlah RM245 juta.

Ketua Menteri merangkap Pengerusi PBBPP, Chow Kon Yeow, ketika mengumumkan tawaran tersebut kepada syarikat itu berkata, projek dengan kerjasama pihak swasta itu dijangka mengambil masa tiga tahun untuk siap sepenuhnya dan mula beroperasi.

Beliau berkata, sebanyak enam syarikat menyertai RFP sebelum Jawatankuasa Penilaian daripada pelbagai agensi telah menilai mengikut keperluan yang ditetapkan dan memilih Hartasuma.

"Berikutan pembidaan terbuka, anggaran pelaburan oleh pembida yang berjaya dijangka berjumlah kira-kira RM245 juta dan projek itu berdasarkan tempoh konsesi selama 30 tahun," katanya pada sidang media yang turut dihadiri Pengasas Bersama dan Pengarah Eksekutif Hartasuma, Tan Sri Ravindran Menon dan Pengurus Besar PBBPP, Datuk Cheok Lay Leng, di sini hari ini.

Sebelum ini, kerajaan negeri memutuskan untuk meneruskan projek kereta kabel Bukit Bendera walaupun Kerajaan Pusat membatalkan peruntukan RM100 juta untuk membangunkan projek tersebut pada April 2020.

Mengulas lanjut, Chow berkata, jajaran dan kesesuaian lokasi projek kereta kabel telah diambil kira oleh Jawatankuasa Penilaian, dengan tapak jajaran laluan yang paling sesuai ialah berhampiran Taman Botani Pulau Pinang.

Katanya, projek itu dianugerahkan melalui Kerjasama Awam Swasta (KAS) mengenai reka bentuk, kewangan, kendali dan pindah atau sub-set asas joint venture partnership.

"Pembida yang berjaya, Hartasuma adalah perintis dalam industri rel tempatan dan mempunyai pengalaman hampir 30 tahun dalam keseluruhan rangkaian pelaksanaan projek daripada pengurusan projek dan logistik, rantaian bekalan antarabangsa, protokol ujian dan pentauliahan serta pembiayaan projek.

"Syarikat itu telah berjaya membekalkan lebih 400 kereta rel untuk beberapa projek pengangkutan awam terbesar di Kuala Lumpur dan membawa bersama pasukan pengurusan yang mempunyai pengalaman dalam laluan Transit Aliran Massa (MRT) serta Kereta Kabel Langkawi yang sangat berjaya," katanya.

Chow berkata, pusat peranginan itu akan memperoleh satu lagi tarikan pelancongan yang ikonik sebagai tambahan kepada kereta api furnikular sedia ada yang telah memberi perkhidmatan kepada penduduk serta pengunjung sejak 100 tahun.

"Berdasarkan kedatangan pengunjung tahunan melebihi 1.3 hingga 1.8 juta, kami berharap kereta kabel Bukit Bendera akan memainkan peranan praktikal dalam mengimbangi jumlah pengunjung.

"Kami berharap mod pengangkutan yang lebih laju itu akan meningkatkan lagi pengalaman pelancongan serta menyumbangkan kepada sosioekonomi kawasan sekitar yang akan menawarkan kira-kira 500 peluang pekerjaan, " katanya. - BERNAMA