Skip to main content

Dunia

Pegawai perubatan Tenerife bersiap terima kapal wabak virus

A view of a tent of a mobile medical facility set up at the port of Granadilla de Abona, where the cruise ship MV Hondius is expected to dock after being affected by a hantavirus outbreak, in Tenerife, Spain, May 9, 2026. REUTERS/Borja Suarez
Pemandangan khemah kemudahan perubatan bergerak yang didirikan di pelabuhan Granadilla de Abona menjelang ketibaan kapal persiaran MV Hondius susulan wabak hantavirus di Tenerife, Sepanyol. - Foto REUTERS

TENERIFE: Pihak kesihatan di Tenerife bersiap sedia menerima ketibaan kapal persiaran MV Hondius yang terjejas wabak hantavirus, hampir sebulan selepas kes kematian pertama dilaporkan di atas kapal itu.

Persiapan rapi telah dilakukan di pelabuhan Granadilla bagi menguruskan lebih 100 penumpang sebelum dihantar pulang ke negara masing-masing.

Kapal itu dijangka tiba awal pagi Ahad, namun tidak dibenarkan merapat ke darat sebaliknya akan berlabuh di luar pelabuhan dalam kawasan keselamatan khas.

Menteri Kesihatan Sepanyol, Monica Garcia, menyifatkan operasi ini sebagai “belum pernah berlaku”, melibatkan kerjasama 23 negara bagi memastikan penularan virus dapat dielakkan.

Pasukan perubatan akan menaiki kapal bagi menjalankan pemeriksaan sebelum penumpang dipindahkan secara berperingkat menggunakan bot kecil ke darat, di mana pesawat khas sudah menunggu untuk membawa mereka pulang.

Pihak berkuasa menegaskan risiko jangkitan kepada orang awam adalah rendah, walaupun kebimbangan tetap disuarakan oleh penduduk tempatan.

Langkah keselamatan ketat termasuk pengasingan penuh dan penggunaan prosedur pemindahan khas turut dilaksanakan.

Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, yang berada di Tenerife, memuji tindakan pantas pihak Sepanyol, sambil menggesa orang ramai mempercayai langkah kawalan yang diambil.

Kapal tersebut dikaitkan dengan wabak hantavirus strain Andes yang jarang berlaku, dan boleh menyebabkan komplikasi serius, walaupun penularan antara manusia adalah terhad.

Operasi ini menandakan penghujung tempoh sukar bagi penumpang selepas berminggu-minggu berdepan ketidakpastian di laut, namun mereka dijangka masih perlu menjalani tempoh kuarantin selepas tiba di negara masing-masing.
 

 

Must Watch Video