KUALA LUMPUR: Honda Malaysia hari ini melancarkan model HR-V Serba Baharu yang dijangka mampu menyaingi pesaingnya dalam segmen SUV di negara ini.

HR-V 2022 yang didatangkan dalam empat varian itu dibangunkan menggunakan konsep ‘Amp Up Your Life’ yang telah diperbaharui dan kini hadir dengan penggayaan luar biasa.

Ia termasuk sistem penjanaan kuasa canggih serta ciri inovatif dalam masa yang sama masih mengekalkan ciri praktikal untuk kegunaan harian.

Menurut Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Hironobu Yoshimura, model HR-V direka untuk sentiasa berada selangkah di hadapan.

“Popularitinya tidak dapat disangkal dan ia masih dikekalkan untuk model terbaharu ini. Sejak ia dibuka untuk tempahan, HR-V terbaharu ini telah mendapat sambutan positif daripada orang ramai.

“Saya berbesar hati untuk memaklumkan bahawa HR-V Serba Baharu telah menerima lebih 20,000 tempahan setakat ini," katanya kepada media hari ini.

“Bagaimanapun, tempoh menunggu bagi setiap pembelian model HR-V tersebut mencecah sehingga 12 bulan bergantung kepada ketersediaan varian yang ada.

“Selain itu, lanjutan tempoh bagi pengecualian cukai jalan oleh kerajaan Malaysia juga telah melonjakkan lagi jualan kenderaan Honda.

Bagi pihak Honda Malaysia saya ingin berterima kasih terhadap usaha berkenaan yang bertujuan untuk menyokong industri automotif di sepanjang tempoh pandemik,” katanya lagi.

Rekaan luar HR-V Serba Baharu telah menerima sentuhan menyeluruh untuk tampil lebih bergaya dan premium berbanding model terdahulu.

Wajah depannya didominasi oleh rekaan baharu dengan Gril Hadapan Sporty, sementara rekaan belakangnya dihiasi Jalur Lampu LED.

HR-V Serba Baharu ini meletakkan tanda aras yang lebih tinggi bagi segmen SUV kompak dengan pengenalan tiga pilihan sistem janaan kuasa sebagai pilihan kepada pelanggan mengikut gaya hidup dan keperluaan penggunaan masing-masing.

Pertama kali diperkenalkan untuk City dan City Hatchback, teknologi e:HEV telah menerima sambutan menggalakkan daripada pasaran.

Ia juga turut ditawarkan pada HR-V RS Serba Baharu untuk memenuhi keperluan pelanggan yang mementingkan kecekapan janaan hibird dalam sebuah SUV kompak.

Sistem 1.5L e:HEV dengan 2-motor memberikan 131PS kuasa dan 253Nm tork.

Sistem hybrid 2-motor Honda yang unik menyelaras antara tiga mod pemanduan iaitu Pacuan EV, Pacuan Hibrid dan Pacuan Enjin yang akan bertukar mengikut situasi pemanduan oleh pengguna.

Bagi pelanggan yang inginkan pengalaman pemanduan berprestasi dan mengujakan, mereka mempunyai pilihan enjin 1.5L VTEC Turbo yang terdapat pada varian V dan E.

Sementera itu ruang dalaman HR-V Serba Baharu pula direka untuk memberikan keselesaan dengan gaya moden dan stylish.

Harga pasaran bagi HR-V Serba Baharu bermula pada harga RM114,800.00 bagi model 1.5L S sehingga RM140,800.00 bagi model 1.5L e:HEV RS.