BISNES
Hotel Ibis Styles Kota Bharu raih pengiktirafan Green Key Global

Pengurus Besar Ibis Styles Kota Bharu, Zac Harun berkongsi keyakinan terhadap strategi baharu dalam memperkukuh daya saing hotel. - Gambar Ibis Kota Bharu
KOTA BHARU: Ibis Styles Kota Bharu melakar pencapaian membanggakan apabila menjadi hotel pertama di Kelantan yang dianugerahkan pensijilan antarabangsa Green Key Global bagi komitmen terhadap kelestarian dalam industri hospitaliti.
Pensijilan ini dikendalikan oleh Foundation for Environmental Education (FEE) berpangkalan di Denmark dan diiktiraf di lebih 60 negara, merangkumi kriteria ketat dalam pengurusan tenaga, air, sisa makanan dan amalan mesra alam sekitar.

Menara ibis Styles Hotel tampil dengan reka bentuk moden, menjadi mercu tanda baharu hospitaliti di kawasan ini. - Gambar Ibis Styles Kota Bharu
Menurut Pengurus Besar Ibis Styles Kota Bharu, Zac Harun, pengiktirafan ini memberi gambaran jelas bahawa kelestarian bukan sekadar dasar syarikat, malah diterapkan dalam setiap aspek operasi harian.“Ini adalah satu pengiktirafan antarabangsa yang mengangkat amalan hijau hotel kami setanding standard global. Ia memberi makna besar kepada kami kerana membuktikan bahawa kami serius dalam menjaga alam sekitar,” katanya.
Hotel bertaraf tiga bintang itu memiliki 130 bilik, empat dewan serba guna, restoran, kafe serta pelbagai kemudahan moden lain termasuk kolam renang dewasa dan kanak-kanak serta pusat kecergasan.

Bilik penginapan yang luas dan selesa di ibis Styles Hotel dilengkapi rekaan kontemporari, sesuai untuk tetamu perniagaan mahupun percutian. - Gambar Ibis Styles Kota Bharu
Namun yang menjadi nilai tambah paling ketara ialah pelaksanaan sistem kelestarian menyeluruh seperti pemasangan panel solar di tingkat 20, penggunaan lampu LED 99 peratus di seluruh premis, serta sistem tadahan air hujan yang digunakan semula untuk pembersihan dan penyiraman landskap.
“Kami juga melaksanakan pengurusan sisa makanan dari bufet restoran serta hanya menggunakan bahan pencuci dan kimia yang mendapat label eko mesra alam. Semuanya demi menjaga keseimbangan alam sekitar tanpa menjejaskan keselesaan pengunjung,” ujarnya lagi.
Tambahnya, hotel ini turut menggalakkan tetamu menyertai inisiatif hijau tersebut dengan menawarkan pilihan untuk tidak menukar cadar dan tuala setiap hari, terutama bagi yang menginap dalam tempoh lama.
“Kami mahu tetamu turut serta dalam usaha ini, bukan sekadar menikmati perkhidmatan kami. Kalau mereka pilih untuk tukar tuala dua atau tiga hari sekali sahaja, itu sudah membantu kelestarian,” jelasnya.
Antara ciri lain yang seiring dengan konsep gaya hidup hijau ialah penyediaan basikal sewa bagi menggalakkan mobiliti rendah karbon di sekitar pusat bandar Kota Bharu.
“Kami percaya usaha kecil ini boleh memberi impak besar. Malah penggunaan bahan tempatan dalam makanan juga menjadi keutamaan kami supaya kesan rantaian bekalan lebih lestari dan menyokong ekonomi setempat,” katanya.

Kemudahan kolam renang di ibis Styles Hotel menawarkan ruang santai dengan pemandangan indah untuk para tetamu. - Gambar Ibis Style Kota Bharu
Dengan pencapaian ini, Ibis Styles Kota Bharu bukan sahaja tampil sebagai destinasi inap moden dan selesa, malah menjadi contoh terbaik bagaimana amalan kelestarian boleh dilaksanakan secara konsisten dalam operasi harian tanpa menjejaskan mutu perkhidmatan sambil menyokong matlamat pembangunan mampan (SDG) negara.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami