TANGKAK: Polis menyiasat tiga pelajar lelaki 15 tahun berhubung dakwaan kejadian buli membabitkan mangsa berusia 14 tahun di sebuah sekolah menengah di daerah ini, Jumaat lepas.
Ketua Polis Daerah Tangkak Superintenden Roslan Mohd Talib berkata pihaknya menerima laporan kejadian itu pada 12.09 tengah malam Sabtu lepas dan mangsa dipercayai dipukul di dalam kelas dan kawasan pondok sekolah.
“Mangsa mendakwa ditendang, ditumbuk dan disepak berulang kali di beberapa bahagian badan sehingga mengalami kecederaan tisu lembut pada bahagian kiri kepala, dada, perut dan lengan kiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Roslan berkata siasatan awal mendapati kejadian pada kira-kira 8 pagi itu berpunca daripada perselisihan faham berkaitan perbualan dalam kumpulan WhatsApp yang menimbulkan rasa tidak puas hati antara mereka.
Beliau berkata mangsa telah mendapatkan rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Roslan berkata polis memandang serius sebarang bentuk buli serta keganasan, khususnya dalam kalangan pelajar dan menyeru ibu bapa serta pihak sekolah supaya peka terhadap tingkah laku anak dan tidak memandang ringan aduan buli.
Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat yang boleh mendedahkan identiti remaja terlibat.Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor Dr Muhammad Naqib Md Ghazali menggesa pihak sekolah dan Jabatan Pendidikan Johor mengambil tindakan susulan sewajarnya berhubung kejadian itu.
“Saya berharap siasatan polis dilakukan dengan baik, telus dan menyeluruh,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar hari ini.
Beliau berkata siasatan secara telus penting bagi memastikan keadilan kepada pihak terlibat, khususnya mangsa.
-- BERNAMA