Skip to main content

Malaysia

Radzi gesa kerajaan serius tangani isu pelarian, penyalahgunaan pas pelajar

Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Mohd Radzi Md Jidin bercakap pada sidang media di Parlimen, ibu negara hari ini. - Foto Astro AWANI
Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Mohd Radzi Md Jidin bercakap pada sidang media di Parlimen, ibu negara hari ini. - Foto Astro AWANI

Ringkasan AI

  • Ahli Parlimen Putrajaya menegaskan kerajaan tidak perlu tunduk kepada tekanan antarabangsa dalam isu penghantaran pulang pelarian demi kedaulatan negara.
  • Beliau menggesa penyelesaian segera isu lebih 225,000 pelarian berdaftar di Malaysia dan meminta negara lain bersedia menerima mereka.
  • Kerajaan turut diminta meneliti penyalahgunaan pas pelajar oleh warga asing serta mendapatkan data jumlah mereka yang tinggal selepas pas luput.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Masyarakat antarabangsa yang menekan Malaysia supaya tidak menghantar pulang pelarian ke negara asal perlu bersedia menerima mereka, selain kerajaan digesa meneliti penyalahgunaan pas pelajar oleh warga asing.

Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Mohd Radzi Md Jidin berkata, kerajaan tidak seharusnya takut dengan tekanan antarabangsa dalam menangani isu pelarian kerana ia melibatkan kedaulatan negara.

"Kerajaan tidak perlu takut dengan tekanan dunia kalau hendak menghantar mereka balik ke negara asal," katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Advertisement

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai pengumuman Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) menghentikan pendaftaran baharu pelarian dan pemohon suaka bermula 18 November 2026.

Dalam pada itu Radzi berkata, tumpuan kini perlu diberikan kepada penyelesaian isu lebih 225,000 pelarian yang telah didaftarkan di Malaysia, memandangkan dalam tempoh Januari hingga Jun 2026 hanya 974 pelarian dihantar ke negara ketiga dan pada kadar sekitar 2,000 orang setahun, kira-kira 113 tahun diperlukan untuk menghantar kesemuanya keluar.

Advertisement

"Dunia yang menekan kita ini sepatutnya mengambil mereka yang kita nak hantar balik ini," tegasnya.

Radzi menggesa kerajaan memanfaatkan segala platform diplomasi, termasuk ASEAN, bagi mempercepat penyelesaian isu pelarian sambil memperketat kawalan sempadan negara.

"Kerana dengan cara ini sahajalah kita boleh menghantar mesej yang jelas kepada dunia. Kalau tidak mahu kami hantar balik, ambillah mereka," jelasnya.

Beliau menambah, pendekatan tegas melalui rundingan dan diplomasi serantau amat penting supaya beban yang ditanggung negara tidak berterusan tanpa jalan keluar yang jelas.

Dalam sidang media sama, Radzi berkata, isu penyalahgunaan pas pelajar oleh warga asing serta keberadaan mereka selepas pas luput perlu diberikan perhatian serius oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan agensi berkaitan.

"Kita dengar cerita ini banyak berlaku di IPT. Ramai yang menggunakan dan menyalahgunakan pas pelajar ini untuk masuk ke Malaysia, tetapi sebenarnya bukan datang untuk belajar," katanya.

Beliau turut membangkitkan kes membabitkan seorang warga asing yang dikaitkan dengan kejadian seorang anggota polis mengalami kecederaan sehingga pergelangan tangannya terputus, apabila semakan rekod Education Malaysia Global Services (EMGS) menunjukkan individu itu mula memegang pas pelajar pada 2015, permohonannya pada 2017 tergantung menunggu dokumen, pas digunakan sehingga 2018 sebelum pas dan pasport luput tetapi terus berada di negara ini.

"Pas pelajar akhirnya digunakan sehingga tahun 2018. Selepas itu, pas tersebut luput dan akhirnya pasportnya pula luput. Dia terus tinggal di negara ini. Ini hanya satu kes," jelasnya.

Sehubungan itu, Radzi memaklumkan beliau akan mengemukakan soalan di Parlimen bagi mendapatkan data berkaitan isu tersebut, khususnya jumlah warga asing yang masih berada di Malaysia selepas pas pelajar mereka luput.

"Insya-Allah, saya akan menghantar soalan berkaitan perkara ini ke Parlimen untuk mendapatkan data-data yang berkaitan," ujarnya.

Beliau berpandangan langkah mendapatkan statistik rasmi amat penting bagi menilai skala sebenar pelanggaran syarat pas di dalam negara.

"Tentunya lebih ramai dalam kalangan mereka yang tinggal lebih masa, pas sudah luput tetapi masih berada dalam negara," katanya.

 

Must Watch Video

Advertisement