PETALING JAYA: Syarikat perunding pembangunan organisasi dan kepimpinan, Annems Leadership Solution Sdn Bhd meraikan seramai 121 usahawan Bumiputera yang berjaya mengikuti program Business Sustainability Solution (BSS) yang diadakan selama lima bulan, 16 hari dan 11 malam.

Presidennya, Datuk Faridah Hanim Harom atau lebih mesra dipanggil Ibu Hanim berkata, penganjuran program kali ke-12 itu melibatkan kumpulan usahawan pada tahap “Growth”, iaitu mereka yang sudah memiliki perusahaan masing-masing dan berhasrat mengukuhkan kedudukan di dalam pasaran.

Kata Ibu Hanim, usahawan yang terlibat terdiri daripada perusahaan meliputi kulit wajah, restoran, minyak wangi, klinik, hospital serta pelbagai sektor perniagaan.

Katanya, fokus pembelajaran pula mendedahkan usahawan tempatan dengan ilmu perniagaan yang tepat agar lebih berdaya saing dan bertahan lama dengan amalan kerja berstruktur serta budaya kerja profesional seperti perniagaan korporat antarabangsa.

“Di dalam kelas, perlu bersandarkan pada data, contohnya sebelum mereka (usahawan) ini mendaftar, kita sudah maklum tentang data mereka, dan kini mereka sudah bergraduasi, kita akan lihat pula cara mereka melaksanakan apa yang diajarkan.

“Perbandingan data ini sangat penting. Kalau kita hanya memfokuskan hanya kepada jualan dan pemasaran sahaja tanpa data mampan yang sebenar, semua ini tiada gunanya. Saya lebih suka sekiranya perniagaan mereka dibina dengan niat untuk bertahan lama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Aspirasi Pejuang: Perjuangan Demi Cinta di sebuah hotel di sini, pada Khamis.

Seramai 121 usahawan Bumiputera yang berjaya mengikuti program Business Sustainability Solution (BSS) yang diadakan selama lima bulan, 16 hari dan 11 malam.

Dalam pada itu, beliau menambah, kebanyakan usahawan kini inginkan perniagaan yang mampu memberikan keuntungan segera dan kemungkinan perkara seumpama itu berlaku akibat kurangnya pendedahan tentang realiti dunia perniagaan.

“Lebih baik kita membangun secara bersistem dan berstruktur. Kalau terlalu hendak segera, memang boleh tetapi hilangnya juga cepat.

“Saya nak insafkan usahawan-usahawan bahawa apa ilmu yang disusun dan diajarkan ini diperakui oleh seluruh pakar dunia, malah ini adalah apa yang saya lakukan dalam dunia korporat, iaitu syarikat Fortune Global 500,” jelasnya.

Katanya, beliau berjaya melakukan pelbagai perubahan kepada 154 anak syarikat Petronas, selain menjadi wakil syarikat berurusan dengan agensi antarabangsa sepanjang 20 tahun berkhidmat di syarikat gergasi itu.

Beliau juga dilantik untuk membantu melicinkan perjalanan Projek Transformasi Nasional seterusnya sebagai penasihat di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membina kualiti pemimpinnya.

Pada majlis sama, Ibu Hanim turut menyampaikan lima anugerah kepada usahawan terpilih meliputi kategori Rising Star, Promising Brand, Industry Leader, Business Transformational dan Highest Growth.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hanif Azmi berkata, program BSS turut memfokuskan kepada metodologi pembelajaran berasaskan pengalaman.

“Apa yang menarik adalah metodologi kelas yang Ibu Hanim susun, iaitu pembelajaran berasaskan pengalaman. Banyak melibatkan simulasi untuk memudahkan mereka faham kerana ibu membawa masuk sistem pengajaran yang mahal.

“Oleh itu, kita hadkan (pengajaran) dalam kumpulan yang kecil supaya usahawan boleh lebih praktikal dan terus buat di dalam kelas,” ujarnya.

Program BSS akan memasuki penganjuran ke-13 pada November ini dan usahawan yang ingin menyertainya perlu memiliki sekurang-kurangnya lima orang kakitangan tetap yang dicarum oleh syarikat serta menjana keuntungan minimum RM1 juta setahun.

Untuk maklumat lanjut, layari www.annemsleadership.com.

* Artikel ini merupakan kandungan berbayar.