AYER KEROH: Barisan Nasional (BN) menegaskan komitmennya untuk terus menyantuni semua kaum dan kumpulan masyarakat di Melaka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, termasuk memastikan representasi masyarakat Cina dalam kepimpinan negeri.
Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata MCA bersetuju menerima kerusi yang diperuntukkan kepada parti itu untuk ditandingi pada PRN berkenaan.
Menurutnya, persetujuan itu dicapai selepas MCA mengadakan mesyuarat kepimpinan tertinggi parti, sekali gus memperlihatkan kesepakatan dalam kalangan parti komponen BN bagi menghadapi pilihan raya berkenaan.
“Persetujuan telah diperoleh daripada MCA dan mereka telah mengadakan mesyuarat kepimpinan tertinggi parti. Sebagaimana yang diumumkan oleh Presiden MCA, mereka akan tetap bertanding di dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Insya-Allah, dari segi representasi di DUN itu, kita akan memberikan peluang kepada mereka untuk mewakili masyarakat Cina,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Pengisytiharan Agihan Keuntungan Boleh Agih Interim 2/2026 Projek-Projek Peserta FELCRA Berhad yang akan disempurnakan di Dewan Mansor Shah, Melaka International Trade Centre (MITC) Melaka pada Khamis.
Zahid berkata BN yakin kepelbagaian kaum di Melaka perlu terus dicerminkan menerusi keseimbangan representasi dalam kepimpinan dan landskap politik negeri.
“Kita memberikan keyakinan kepada para pengundi bahawa BN tetap menyantuni pelbagai kaum dan kumpulan masyarakat kerana kita yakin kemajmukan di Melaka ini penting untuk memperlihatkan keseimbangan representasi mereka di peringkat kepimpinan dan politik negeri,” katanya.
Terdahulu, Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata kerjasama antara BN dan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi PRN Melaka dijangka mengelakkan pertembungan kerusi antara kedua-dua gabungan itu.
BN mengesahkan memeterai perjanjian persefahaman politik dengan PN bagi menghadapi PRN Melaka Ke-16 yang dijadual 14 November ini.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata perjanjian yang ditandatangani di Menara Dato Onn itu diabsahkan pada Mesyuarat MKT UMNO, selain turut bersetuju BN dan PN melancarkan Manifesto Pilihan Raya bersama.
Pada PRN Melaka kali ini, BN akan bertanding di 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala baki tujuh kerusi diperuntukkan kepada Pas dan rakan kerjasamanya.