Skip to main content

Malaysia

Yayasan AmGroup santuni warga emas sempena Deepavali

Para sukarelawan AmBank Volunteer Network berkongsi senyuman, gelak tawa, dan kegembiraan Deepavali bersama penghuni Pusat Jagaan Warga Emas Shekinah di Klang.
Para sukarelawan AmBank Volunteer Network berkongsi senyuman, gelak tawa, dan kegembiraan Deepavali bersama penghuni Pusat Jagaan Warga Emas Shekinah di Klang.

Advertisement

KLANG: Yayasan AmGroup meneruskan komitmennya dalam menyemai semangat kebersamaan dan prihatin sempena sambutan Deepavali menerusi program Cahaya Deepavali yang diadakan di Pusat Jagaan Warga Emas Shekinah di sini.

Program itu dilaksanakan dengan kerjasama sukarelawan daripada AmBank Volunteer Network (AVN) yang meluangkan masa bersama para penghuni pusat jagaan berkenaan menerusi pelbagai aktiviti bagi menceriakan sambutan perayaan tersebut.

Antara aktiviti yang dianjurkan termasuk rawatan kuku, gubahan bunga serta sesi interaksi santai yang bertujuan mewujudkan suasana mesra dan menggembirakan penghuni.

Bagi meningkatkan lagi keselesaan warga emas di pusat jagaan itu, Yayasan AmGroup turut menaja perkhidmatan pendandan rambut selain menyumbangkan sebuah unit penyaman udara untuk kegunaan salah satu bilik penginapan.

Menurut yayasan itu, inisiatif berkenaan bukan sekadar meraikan Deepavali, malah mencerminkan nilai kasih sayang, kepedulian dan penghargaan kepada golongan warga emas.

Program tersebut juga menjadi platform untuk mengukuhkan hubungan antara komuniti dan mengingatkan penghuni bahawa mereka sentiasa dihargai, disayangi serta tidak dilupakan.

Melalui pendekatan itu, Yayasan AmGroup berharap dapat terus menyebarkan kegembiraan dan membawa impak positif kepada masyarakat, selaras dengan semangat Deepavali yang menekankan kemenangan cahaya mengatasi kegelapan serta nilai kemanusiaan sejagat.

Must Watch Video

Advertisement