BANDAR BARU BANGI: Ketika dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik, gangguan rantaian bekalan global dan krisis iklim yang semakin meruncing, Malaysia giat dalam usaha memantapkan kedudukannya sebagai antara peneraju ekonomi hijau di rantau ASEAN.
Komitmen itu diterjemahkan menerusi Majlis Pra-Pelancaran Pameran dan Persidangan Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko Malaysia 2026 (IGEM 2026) dan Sidang Kemuncak Kelestarian Kuala Lumpur 2026 (KLSS 2026) yang bukan sahaja dilihat sebagai platform teknologi hijau terbesar negara, malah menjadi pentas penting untuk mempercepat pelaburan, dasar dan tindakan iklim serantau.
Bertemakan “Race Towards Net Zero: Action Beyond Boundaries”, IGEM 2026 dijadual berlangsung dari 7 hingga 9 Oktober nanti dengan sasaran menjana potensi peluang perniagaan bernilai RM22.5 bilion, menarik lebih 60,000 pengunjung dari 50 negara serta menghimpunkan sekitar 450 reruai pameran.
Lebih menarik, edisi kali ini turut memperkenalkan segmen gaya hidup lestari yang memfokuskan inovasi hijau dalam sektor makanan dan minuman, fesyen serta kosmetik sekali gus menjadi gambaran bahawa kelestarian kini merupakan sebahagian daripada gaya hidup harian dan bukan lagi sekadar agenda industri atau dasar kerajaan.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, dunia kini tidak lagi mempunyai ruang yang banyak untuk menangguhkan tindakan iklim, terutama ketika isu keselamatan tenaga dan kelestarian semakin saling berkait.
Menurut beliau, IGEM bukan sekadar platform pameran teknologi hijau, tetapi ruang strategik untuk mempertemukan pembuat dasar, pelabur, industri dan inovator dalam usaha mempercepat peralihan ke arah ekonomi rendah karbon.
“Tema untuk IGEM 2026 iaitu ‘Race Towards Net Zero: Action Beyond Boundaries’ menekankan keperluan mendesak terhadap tindakan iklim yang lebih pantas dan kolektif.
“Ketika dunia bergerak menuju sifar bersih, kerjasama lebih kukuh merentasi industri, sektor dan sempadan amat diperlukan,” katanya ketika berucap di Majlis Pra-Pelancaran Pameran dan Persidangan Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko Malaysia 2026 (IGEM 2026) dan Sidang Kemuncak Kelestarian Kuala Lumpur 2026 (KLSS 2026), di sini, pada Selasa.
Tambah beliau, Malaysia turut meningkatkan sasaran iklim negara dengan komitmen mengurangkan 15 hingga 30 juta tan karbon dioksida menjelang 2035 melalui langkah domestik dan kerjasama antarabangsa.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pelbagai inisiatif seperti Dasar Pasaran Karbon Negara (DPKK), Green Investment Tax Allowance (GITA), Green Technology Financing Scheme (GTFS) dan MyHIJAU terus diperkasa bagi mempercepat transformasi negara ke arah ekonomi rendah karbon dan lebih berdaya tahan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Investment Development Authority (MIDA), Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid menegaskan bahawa peralihan tenaga hijau kini berkait rapat dengan daya tahan ekonomi dan keselamatan tenaga sesebuah negara.
Jelasnya, ketegangan geopolitik global serta ketidakstabilan rantaian bekalan dunia telah membuka mata banyak pihak terhadap risiko pergantungan kepada bahan api fosil.
“Bagi pelabur dan kerajaan, peralihan tenaga hijau bukan lagi sekadar agenda iklim.
“Ia pada asasnya adalah agenda keselamatan tenaga dan daya tahan ekonomi.
“MIDA mahu memastikan setiap pelabur teknologi hijau yang hadir ke IGEM menemui laluan pelaburan yang jelas, diyakini dan disokong sepenuhnya untuk berkembang di Malaysia,” ujarnya.
Menurutnya, Malaysia berada pada kedudukan yang stabil untuk memimpin agenda tersebut, termasuk menerusi pelaksanaan National Energy Transition Roadmap (NETR) yang menyasarkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui sebanyak 70 peratus menjelang 2050.
Beliau turut menekankan, MIDA berjaya memperoleh potensi pelaburan teknologi hijau bernilai RM10.3 bilion melalui IGEM 2025, melepasi sasaran awal yang ditetapkan.
Selain IGEM, Kuala Lumpur Sustainability Summit (KLSS) 2026 turut dijangka menjadi antara platform utama ASEAN dalam mempertemukan pembuat dasar, pelabur institusi dan pemain industri bagi memperkukuh kerjasama berkaitan dasar iklim, kewangan mampan dan penyahkarbonan industri.
Sejak diperkenalkan, IGEM telah menarik lebih 700,000 pengunjung dan lebih 4,700 pempamer serta menjana lebih RM86 bilion potensi peluang perniagaan, sekali gus menjadikannya antara platform ekonomi hijau paling berpengaruh di Asia Tenggara.
Untuk maklumat lanjut mengenai IGEM 2026 dan peluang penyertaan, sila layari www.igem.my.