KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) mengingatkan semua pimpinan dan ahli partinya agar tidak membuat sebarang kritikan secara semberono kepada mana-mana parti komponen PN lain sama ada melalui media mahupun sebarang saluran lain.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata sebarang ketidakpuasan hati perlu disalurkan menerusi saluran parti masing-masing sebelum dibawa untuk dibincang dan diputuskan secara musyawarah dalam gabungan berkenaan.
"PN menerusi kepimpinannya kini akan menumpukan segala usaha dan tenaga kepada isu yang lebih besar yang melibatkan kepentingan negara dan rakyat," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Mengulas lanjut, Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung Pas menambah, segala masalah dalaman parti akan diurus dan dikendalikan secara dalaman dengan lebih berkesan, bijaksana serta positif.
Sebelum ini, media melaporkan pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menegaskan bahawa sumbangan parti itu serta Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kepada PN tidak wajar dipertikaikan oleh mana-mana pihak dalam gabungan berkenaan.
Kenyataan itu dipercayai susulan kritikan terbuka beberapa pemimpin Pas terhadap pergolakan dalaman Bersatu, termasuk cadangan agar parti terbabit menilai semula kedudukannya dalam PN.