KUALA LUMPUR: Malaysia terus memperkukuh kesiapsiagaan maritim menerusi pengawasan berterusan, perkongsian maklumat dan kerjasama serantau bagi memastikan Selat Melaka kekal selamat, stabil dan terbuka kepada perdagangan antarabangsa.
Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata Angkatan Tentera Malaysia, menerusi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), melaksanakan pengawasan dan rondaan berterusan bagi menjamin keselamatan laluan perkapalan strategik itu.
Beliau berkata Malaysia turut memperkukuh kerjasama serantau dengan negara pesisir menerusi Malacca Straits Patrol bersama Indonesia, Singapura dan Thailand bagi meningkatkan keberkesanan rondaan, perkongsian maklumat serta kesedaran domain maritim.
“Pendekatan Kementerian Pertahanan adalah untuk memastikan kesiapsiagaan sentiasa berada pada tahap yang sewajarnya selaras dengan perkembangan keselamatan semasa. Usaha melalui pengawasan, perkongsian maklumat, kerjasama serantau dan diplomasi akan terus diperkukuh bagi memastikan Selat Melaka kekal selamat,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam) mengenai kesiapsiagaan Malaysia menghadapi kemungkinan Selat Melaka menjadi titik panas geopolitik dan mengalami gangguan maritim seperti di Selat Hormuz.
Menjawab soalan tambahan Hasni mengenai ancaman kuasa luar, Adly berkata Malaysia menggunakan platform Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) untuk berkongsi maklumat dan pandangan berkaitan keselamatan serantau.
Beliau berkata perkembangan politik di Asia Barat yang mengganggu laluan perkapalan di Selat Hormuz turut dipantau kerana konflik di rantau itu boleh memberi kesan kepada keselamatan dan pertahanan, selain sektor tenaga.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) mengenai keupayaan aset pertahanan yang semakin berusia serta kepentingan mengekalkan kesiapsiagaan ATM tanpa penglibatan aktif di medan konflik luar negara, Adly berkata perancangan pertahanan negara berpandukan Kertas Putih Pertahanan yang disemak setiap lima tahun.
Beliau berkata semakan yang diselesaikan tahun lepas mengambil kira cabaran keselamatan baharu, termasuk ancaman siber.
“Kalau kita lihat setiap domain pertahanan kita, memang mempunyai perancangan sehingga tahun 2050. Sama ada laut, darat ataupun udara, memang sudah mempunyai perancangan masing-masing,” katanya dan menambah perancangan itu merangkumi perolehan aset dan pembangunan keupayaan pertahanan, termasuk pertahanan siber.
Adly berkata proses perolehan kerajaan dengan kerajaan (G2G) yang diamalkan Kerajaan MADANI, termasuk kapal misi pesisir (LMS) dan pesawat FA-50 dari Korea Selatan, menunjukkan kemajuan mengikut perancangan.
-- BERNAMA