Skip to main content

Bisnes

IMEX Frankfurt 2026: MyCEB lebar pengaruh Malaysia sebagai destinasi utama acara perniagaan

[TB]_MyCEB, IMEX_MyCEB
MyCEB giat menjadi agensi yang menyerlahkan kekuatan Malaysia sebagai destinasi acara perniagaan bertaraf antarabangsa. - Foto MyCEB

FRANKFURT: Industri acara perniagaan kini menjadi antara pemacu penting sektor pelancongan global dengan persaingan antara negara semakin sengit untuk menarik persidangan, pameran dan acara antarabangsa berprofil tinggi.

Dalam usaha memperluas pengaruh Malaysia di pentas dunia, Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB) sekali lagi membawa jenama negara ke IMEX Frankfurt 2026 di Jerman menerusi penyertaan strategik yang memfokuskan kepada kekuatan Malaysia sebagai destinasi acara perniagaan bertaraf antarabangsa.

Penyertaan agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) itu turut dilihat sebagai usaha memperkasa jaringan industri Meetings, Incentives, Conferences and Exhibitions (MICE) serta menarik lebih banyak acara global ke Malaysia.

IMEX Frankfurt yang berlangsung daripada 19 sehingga 21 Mei di Messe Frankfurt merupakan antara platform terbesar industri acara perniagaan dunia, menghimpunkan lebih 3,000 pempamer global dan lebih 12,000 penggiat industri termasuk kira-kira 4,000 pembeli antarabangsa dari lebih 150 negara.

Ketua Pegawai Eksekutif MyCEB, Tan Mei Phing berkata penyertaan berterusan Malaysia sejak 2011 membuktikan komitmen negara dalam memperkukuh kedudukan sebagai destinasi pilihan acara perniagaan di Asia.

Menurut beliau, platform itu membuka peluang penting untuk Malaysia berinteraksi secara langsung dengan komuniti acara perniagaan global selain meneroka peluang kerjasama baharu.

Image
[INSERT]_MyCEB, IMEX 1_MyCEB
Tan Mei Phing (tiga dari kiri) bersama maskot Tahun Melawat Malaysia 2026, Wira dan Manja. - Foto MyCEB

“IMEX Frankfurt menyediakan platform strategik untuk kami berinteraksi secara langsung dengan komuniti acara perniagaan global, memperkukuh hubungan sedia ada serta meneroka peluang baharu bagi Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan media.

Sementara itu, pelbagai aktiviti dan sesi libat urus dirancang bagi memperkenalkan kekuatan Malaysia kepada pembeli antarabangsa dan rakan industri.

Image
[INSERT]_MyCEB, IMEX 2_MyCEB
Pavilion Malaysia dimulakan dengan sesi taklimat bersama 14 peserta pameran diikuti majlis perasmian rasmi yang dirasmikan oleh Konsul Jeneral Malaysia di Frankfurt, Engku Puteri Suraya Engku Mohd. Afandi. - Foto MyCEB

Antara tarikan utama termasuk pelancaran rasmi Pavilion Malaysia serta penampilan maskot Tahun Melawat Malaysia 2026, Wira dan Manja, yang menjadi simbol promosi awal inisiatif pelancongan negara.

Selain itu, sesi jaringan bersama pembeli antarabangsa turut diadakan bagi membuka peluang kerjasama dan menarik lebih banyak acara antarabangsa ke Malaysia.

Sepanjang tiga hari pameran, MyCEB juga akan mengadakan sesi padanan perniagaan bersama pembeli global untuk memperkenalkan infrastruktur, lokasi acara dan rekod prestasi Malaysia dalam menganjurkan acara perniagaan antarabangsa.

Usaha itu selari dengan komitmen MyCEB dalam meningkatkan keterlihatan Malaysia di pentas antarabangsa, sekaligus menyokong pertumbuhan mampan industri acara perniagaan negara.

Must Watch Video

Advertisement