GENEVA: United Kingdom (UK) pada Khamis mengumumkan tindakan mengusir atase pertahanan Myanmar dan menggesa mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) diadakan susulan keputusan bersejarah mahkamah yang mendapati Myanmar melakukan genosid terhadap masyarakat Islam Rohingya, lapor Anadolu Ajansi.
Setiausaha Luar UK Ed Miliband berkata langkah itu dilaksanakan serta-merta sebagai tindak balas terhadap penghakiman Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), selain memperkukuh sekatan sedia ada Britain terhadap rejim tentera Myanmar.
"Kami mengambil tindakan segera hari ini susulan penghakiman ini. Selain sekatan sedia ada terhadap rejim Myanmar, kami mengarahkan pengusiran Atase Pertahanan Myanmar dari UK dan menggesa agar satu sesi Majlis Keselamatan PBB diadakan segera bagi membincangkan penghakiman itu," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut mengumumkan rancangan untuk memanggil kuasa usaha Myanmar bagi menyampaikan pendirian UK serta menggariskan langkah tambahan "dalam beberapa hari akan datang" bagi memastikan pihak bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.
"UK bertekad untuk mengambil tindakan dan memastikan akauntabiliti terhadap jenayah kejam ini," katanya sambil mengecam "layanan mengerikan" yang dikenakan terhadap masyarakat Islam Rohingya oleh rejim tentera Myanmar.
Miliband turut menegaskan sokongan Britain terhadap ICJ dan undang-undang antarabangsa, selain menegaskan bahawa Myanmar perlu mematuhi sepenuhnya penghakiman berkenaan.
"Masyarakat antarabangsa kini perlu memainkan peranan dalam menyokong pelaksanaan keputusan, akauntabiliti dan keadilan untuk masyarakat Rohingya," katanya.
"Kita mesti memastikan keputusan mahkamah itu menghantar mesej jelas bahawa jenayah sedemikian tidak boleh dilakukan tanpa sebarang tindakan undang-undang," katanya.
ICJ pada Khamis memutuskan bahawa Myanmar melakukan genosid terhadap masyarakat Islam Rohingya ketika operasi ketenteraan pada 2017 di utara Negeri Rakhine.
Keputusan itu merupakan kali pertama mahkamah tertinggi PBB mendapati sesebuah negara bertanggungjawab melakukan genosid.
Mahkamah turut mengarahkan Myanmar membayar pampasan serta mengambil langkah bagi mencegah pelanggaran seumpamanya daripada berulang.
-- BERNAMA-ANADOLU