Skip to main content

Malaysia

Honest View Media Award 2026 iktiraf laporan seimbang, telus Astro AWANI

Irfan Faruqi meraih tempat kedua bagi kategori Laporan Telus pada Honest View Media Award 2026. - Astro AWANI
Irfan Faruqi meraih tempat kedua bagi kategori Laporan Telus pada Honest View Media Award 2026. - Astro AWANI
Advertisement

MOSCOW: Astro AWANI terus mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa apabila wartawan, Irfan Faruqi, meraih tempat kedua bagi kategori Laporan Telus pada Honest View Media Award 2026 yang berlangsung di Moscow, Rusia, pada Khamis.

Pengiktirafan itu diberikan berdasarkan laporan yang disiarkan pada Mei lalu mengenai situasi konflik Rusia-Ukraine, termasuk Operasi Ketenteraan Khas (SMO), yang bermula pada Februari 2022.

Laporan berkenaan turut merangkumi liputan langsung dari lapangan mengenai perkembangan dan keadaan semasa di Republik Crimea yang menyertai Persekutuan Rusia sejak 2014.

Advertisement

Kejayaan itu sekali gus memperkukuh kedudukan Astro AWANI sebagai jenama berita yang dipercayai, selain mencerminkan komitmen berterusan organisasi berkenaan dalam menghasilkan laporan yang seimbang, telus dan saksama, khususnya melibatkan isu geopolitik serta konflik antarabangsa.

Pengiktirafan di pentas antarabangsa itu juga membuktikan kepentingan kewartawanan berasaskan pemerhatian langsung di lapangan bagi memberikan gambaran lebih menyeluruh kepada khalayak, tanpa mengetepikan kepelbagaian perspektif dan ketepatan fakta.

Advertisement

Honest View Media Award merupakan anugerah media antarabangsa anjuran Rossotrudnichestvo, sebuah agensi kerajaan Rusia, yang diperkenalkan pada 2022 bagi mengiktiraf pengamal media asing yang menghasilkan laporan berkaitan Rusia, termasuk aspek kebudayaan, kemanusiaan, ekonomi dan kerjasama antarabangsa.

Penganjuran edisi kelima pada tahun ini menerima lebih 800 penyertaan dari 85 negara, sekali gus mencerminkan perkembangan anugerah berkenaan yang semakin mendapat perhatian pengamal media antarabangsa.

Menurut penganjur, anugerah tersebut bertujuan mengiktiraf hasil kewartawanan yang dianggap profesional dan objektif dalam melaporkan perkembangan berkaitan Rusia, di samping menggalakkan dialog serta persefahaman antara masyarakat pelbagai negara.

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement