Ringkasan AI
- Kerjasama Malaysia-AS dalam pembangunan infrastruktur awan AI berdaulat penting untuk membina kepakaran tempatan dan memperkukuh keupayaan negara.
- Pakar menekankan keperluan penglibatan jurutera tempatan dari peringkat reka bentuk serta penggunaan seni bina sistem terbuka dan modular.
- Cabaran utama termasuk kebergantungan kepada teknologi asing, kesiapsiagaan ekosistem digital, dan keperluan kawalan terhadap data serta operasi kritikal negara.
KUALA LUMPUR: Pemindahan teknologi menerusi kerjasama yang dicadangkan antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) bagi membangunkan infrastruktur awan kecerdasan buatan (AI) berdaulat negara adalah penting untuk membina kepakaran tempatan dan membolehkan Malaysia mengendalikan dan memajukan lagi infrastruktur itu secara kendiri, menurut pakar.
Pensyarah kanan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat Universiti Putra Malaysia (UPM) Muhamad Sufri Muhammad berkata jurutera tempatan perlu mengambil bahagian daripada peringkat reka bentuk dan pembangunan, bukannya sekadar dilatih untuk mengendalikan sistem yang telah siap dibangunkan.
"Malaysia memerlukan lebih daripada sekadar pembangun aplikasi AI. Kita memerlukan arkitek awan, pakar keselamatan siber, jurutera data, penyelidik AI serta jurutera yang berkemampuan mengurus infrastruktur pengkomputeran berprestasi tinggi," katanya kepada Bernama.
Malaysia dan AS pada 18 November mengumumkan hasrat untuk mengukuhkan kerjasama dalam pembangunan infrastruktur awan AI berdaulat negara ini, dengan Washington menyatakan kemungkinan untuk memberikan sokongan berjumlah AS$50 juta (AS$1=RM4.11) bagi inisiatif berkenaan.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan bidang kerjasama yang berpotensi adalah termasuk bantuan teknikal dan latihan bagi membangunkan tenaga kerja AI tempatan serta memperkukuh keupayaan Malaysia untuk mengendalikan infrastruktur digital yang selamat dan berdaya tahan.
Mengulas lanjut, Muhamad Sufri berkata kerjasama itu juga membantu Malaysia mempercepat penerimagunaan AI dan memperkukuh ekosistem AI domestik dengan menyediakan sumber pengkomputeran AI pada kos yang berpatutan kepada universiti tempatan, syarikat pemula niaga serta perusahaan kecil dan sederhana.
"Kita tidak seharusnya kekal sebagai pengguna teknologi AI semata-mata. Kita juga perlu membangunkan produk AI dan harta intelek sendiri," katanya.
Bagaimanapun, Muhamad Sufri berkata kebergantungan Malaysia terhadap teknologi asing khususnya cip AI termaju dan platform awan, kekal sebagai cabaran yang perlu ditangani bagi memastikan kemampanan inisiatif itu dalam jangka panjang.
Beliau berkata Malaysia perlu menggunakan seni bina sistem yang terbuka, modular dan saling boleh kendali bagi meminimumkan kebergantungan kepada penyedia tertentu serta mengurangkan pergantungan terhadap penyedia teknologi asing.
"Kerjasama antarabangsa tidak bercanggah dengan kedaulatan digital. Malaysia boleh memanfaatkan teknologi dan kepakaran AS tanpa menyerahkan kawalan terhadap aset digital negara.
"Perkara penting ialah memastikan kedaulatan diterapkan dalam seni bina itu sejak peringkat awal, dan tidak menganggapnya sebagai ciri keselamatan tambahan," katanya.
Mengenai pelaksanaan, Muhamad Sufri berkata cabaran terbesar ialah memastikan ekosistem digital sedia ada di Malaysia bersedia untuk menyokong infrastruktur itu termasuk dari segi kapasiti pengkomputeran, bekalan tenaga, kesalinghubungan rangkaian, keselamatan siber, tenaga kerja tempatan dan tahap kematangan sistem kerajaan.
Dari segi keselamatan data, beliau berkata Malaysia boleh mengguna pakai kerangka kedaulatan yang merangkumi empat bidang utama iaitu kedaulatan data, kedaulatan teknologi, kedaulatan operasi dan tadbir urus perundangan.
Menurutnya langkah itu termasuk memastikan data sensitif kerajaan dan salinan sandarnya kekal di Malaysia, dengan kunci penyulitan di bawah kawalan negara ini manakala kakitangan di Malaysia diberi kuasa menguruskan infrastruktur kritikal, akses pentadbiran dan operasi keselamatan.
Beliau turut mencadangkan peraturan yang jelas, obligasi kontrak dan audit keselamatan bebas bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang Malaysia serta menangani potensi risiko berkaitan bidang kuasa asing.
"Pada akhirnya, kejayaan inisiatif ini tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah unit pemprosesan grafik atau pusat data yang kita ada, tetapi berdasarkan keupayaan kita untuk mengendalikan, menyelenggara, melindungi dan terus membangunkan teknologi itu secara kendiri," katanya.
-- BERNAMA