Industri teknologi kewangan (fintech) Malaysia mempunyai potensi yang besar untuk terus berkembang, terutamanya dalam bidang perbankan, inovasi dan teknologi tinggi.

Pengerusi Pusat FinTech Korea Selatan, Jung Yoo Shin berkata, lokasi yang strategik dan aspek keusahawanan yang menarik di Malaysia membolehkannya menjadi pintu masuk ke pasaran ASEAN yang menyediakan peluang besar kepada industri fintech tempatan.

"Malaysia, yang mempunyai pasaran asas yang kukuh, model perniagaan kepada pengguna dan akses Internet yang lebih baik turut menawarkan prospek bagi industri tersebut untuk terus berkembang," katanya kepada pemberita selepas Forum dan Jerayawara Fintech Korea Selatan-Malaysia 2017 di sini hari ini.

BACA: South Korean fintechs come to KL

Beliau berkata pihak berkuasa Malaysia yang berfikiran terbuka menjadikan negara ini tempat yang sesuai untuk mengembangkan perniagaan.

Terdahulu, Pusat FinTech Korea Selatan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Fintech Association of Malaysia (FAOM) untuk membina ekosistem fintech.

Presiden FAOM David Fong berkata MoU itu akan memudahkan kerjasama maklumat mengenai pembangunan industri fintech dan pertukaran merentas sempadan antara satu sama lain.

"Oleh itu, jika anda mempunyai perniagaan dan merancang untuk mengembangkannya, anda perlu memperluaskannya di luar pasaran tempatan, memahami pasaran sasaran dan penduduknya.

"Itu sebabnya MoU ini amat penting kerana ia memberi akses kepada ahli FAOM untuk meneroka pasaran Korea Selatan," katanya sambil menambah FAOM mempunyai 17 ahli setakat ini. -- Bernama