KUALA LUMPUR: Industri penerbangan domestik dijangka bermula menjelang suku keempat tahun ini dan akan kembali ke tahap pra pandemik menjelang akhir tahun depan.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Malaysia Airlines, Ahmad Luqman Mohd Azmi, pasaran antarabangsa mungkin memerlukan masa yang lebih lama untuk kembali seperti sedia kala.

"Permulaan akan bermula pada suku keempat tahun ini dan industri penerbangan tempatan akan kembali ke tahap pra pandemik kira-kira pada tahun 2022 jika keadaan bertambah baik.

"Kami akan melaksanakan perkhidmatan pada pertengahan 2023 atau awal 2024 untuk pemulihan sepenuhnya bagi pasaran antarabangsa," katanya ketika sesi webinar secara maya, yang dianjurkan oleh Malaysia Airlines dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAMM), pada Khamis.

Tambahnya lagi, syarikat penerbangan itu akan melaksanakan rancangan perniagaan jangka panjang 2.0, dengan mempertimbangkan beberapa senario pemulihan.

"Berkenaan dengan rancangan untuk memulakan semula operasi jet Firefly, sebenarnya ia telah dimulakan sejak bulan Mei lalu namun dihentikan seketika susulan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) 3.0 dan akan memulakan semula operasi secara rasmi pada suku pertama tahun depan, bergantung kepada pemulihan di pasaran domestik," katanya lagi.

Luqman turut berkata, Malaysia Airlines masih menjalankan penerbangan jarak jauh ke destinasi seperti United Kingdom, Australia, Korea Selatan, Jepun, China dan beberapa negara Asia, bagaimanapun pada kekerapan yang dikurangkan.