Skip to main content

Malaysia

Musyawarah Nasional wadah strategik rumus penyelesaian cabaran ummah - Ahmad Zahid

Hari ini saya menyerahkan watikah pelantikan kepada lima Pengerusi Teras Musyawarah Nasional yang akan memacu perbincangan dalam bidang kepakaran masing-masing merangkumi agama, politik, ekonomi, pendidikan dan sosial._Zahid Hamidi
Ahmad Zahid berkata beliau bersama Abdul Ghani yang dilantik Pengerusi Musyawarah Nasional turut meneliti perkara-perkara yang boleh digerakkan demi masa depan pembangunan ummah. - Gambar Facebook Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: Musyawarah Nasional diharap menjadi platform yang menghimpunkan pertubuhan bukan kerajaan Islam dan Melayu, ahli profesional, tokoh berpengaruh serta pemimpin pendapat untuk berinteraksi, bertukar pandangan dan merumuskan penyelesaian terbaik kepada cabaran dihadapi ummah hari ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata platform itu juga berperanan sebagai medan menghimpunkan hikmah dan membawa manfaat besar bukan sahaja kepada umat Melayu dan Islam, tetapi kepada masa depan negara secara keseluruhan.

Advertisement

"Hari ini saya menyerahkan watikah pelantikan kepada lima Pengerusi Teras Musyawarah Nasional yang akan memacu perbincangan dalam bidang kepakaran masing-masing merangkumi agama, politik, ekonomi, pendidikan dan sosial," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Ahmad Zahid berkata beliau bersama bekas Menteri Besar Johor Tan Sri Abdul Ghani Othman yang dilantik  Pengerusi Musyawarah Nasional turut meneliti perkara-perkara yang boleh digerakkan demi masa depan pembangunan ummah.

Antara penerima watikah tersebut ialah Pengerusi Eksekutif Dagang NeXchange Bhd (DNeX) Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir Jamalullail selaku Pengerusi Teras Ekonomi dan pendakwah terkenal Datuk Prof Dr Mohd Kashim Shamsuddin sebagai Pengerusi Teras Agama.

Ahmad Zahid sebelum ini memaklumkan Musyawarah Nasional akan menumpukan kepada lima teras utama meliputi agama, politik, ekonomi, pendidikan dan sosial bagi menghimpunkan pemikiran, pandangan serta cadangan strategi dalam merangka hala tuju strategik masa depan masyarakat Melayu dan negara.

-- BERNAMA

Must Watch Video