KUALA LUMPUR:Industri sarung tangan getah menyumbang hampir 90 peratus kepada pendapatan eksport barangan getah negara.

Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, produk keluaran Malaysia itu menguasai lebih 60 peratus pasaran dunia.

Jelasnya, eksport ke pasaran utama sarung tangan getah Malaysia, Amerika Syarikat telah meningkat hampir 84 peratus daripada RM6.47 bilion pada 2019 kepada RM11.89 bilion pada 2020. 

"Pasaran utama lain bagi produk berkenaan turut mencatatkan peningkatan eksport yang memberangsangkan iaitu Jerman sebanyak 82 peratus, Jepun (84 peratus), United Kingdom (201 peratus) dan China (146 peratus)," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat. 

Tambahnya, penularan wabak COVID-19 sejak Januari 2020 telah memberi kesan yang amat signifikan dan telah mengubah landskap aktiviti ekonomi negara.

"Namun keadaan tersebut telah memberi impak positif kepada sektor hiliran getah terutama industri sarung tangan getah apabila prestasi eksport barangan getah Malaysia sepanjang tahun lalu telah
meningkat 73.9 peratus dengan sumbangan sebanyak RM40.97 bilion kepada pendapatan negara.

"Peningkatan ini didorong oleh permintaan yang tinggi oleh sektor perubatan dan kesihatan seluruh dunia, dalam usaha membendung penularan wabak COVID-19," ujarnya lagi.

Permintaan yang tinggi terhadap sarung tangan getah menyebabkan lebih ramai pekerja diperlukan.

"Berdasarkan anggaran oleh Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA), industri ini memerlukan sebanyak 34.7 peratus atau 25,000 lagi pekerja baharu.

Bagi menyokong dan Komoditi (KPPK) melalui Majlis Getah Malaysia (MRC) telah menyediakan dana subsidi upah sebanyak RM36 juta untuk menggalakkan industri hiliran getah negara mengambil pekerja
tempatan dalam industri tersebut.

"KPPK terus komited untuk memudah cara dan memantau operasi sektor industri sarung tangan getah untuk kekal beroperasi dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," ujar beliau lagi.