BISNES
Institusi tempatan terus beli dengan aliran masuk bersih RM876.5 juta minggu lepas - MIDF

Pelabur asing mencatatkan penjualan bersih RM1.02 bilion minggu lepas, lebih tinggi daripada minggu sebelumnya. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Institusi tempatan meneruskan rentetan belian selama dua minggu di Bursa Malaysia dengan aliran masuk bersih berjumlah RM876.5 juta minggu lepas, menjadikan belian bersih mereka setakat ini bagi 2025 berjumlah RM8.78 bilion.
Ringkasan AI
- Institusi tempatan terus membeli: Belian bersih institusi tempatan di Bursa Malaysia mencecah RM876.5 juta minggu lepas, dengan jumlah keseluruhan bagi 2025 kini RM8.78 bilion.
- Pelabur asing terus jualan bersih: Pelabur asing mencatatkan penjualan bersih RM1.02 bilion minggu lepas, lebih tinggi daripada minggu sebelumnya, dengan aliran keluar terbesar berlaku pada hari Jumaat dan Khamis.
- Sektor yang menarik aliran asing: Hartanah, pembinaan, dan tenaga mencatatkan aliran masuk asing bersih tertinggi, manakala sektor perkhidmatan kewangan, produk pengguna, dan penjagaan kesihatan mengalami aliran keluar terbesar.
Bank pelaburan itu juga memaklumkan pelabur asing meneruskan aliran keluar bersih di Bursa Malaysia dengan penjualan berturut-turut selama dua minggu pada minggu lepas.
Penjualan bersih oleh pelabur asing minggu lepas berjumlah RM1.02 bilion, hampir 2.6 kali lebih tinggi daripada aliran keluar pada minggu sebelumnya berjumlah RM392.3 juta.
MIDF Amanah menjelaskan pelabur asing ialah penjual bersih pada setiap hari dagangan, dengan aliran keluar antara RM61.4 juta hingga RM456.7 juta, manakala aliran keluar terbesar adalah pada Jumaat sebanyak RM456.7 juta, diikuti Khamis sebanyak RM234.6 juta.
"Tiga sektor yang mencatatkan aliran masuk asing bersih tertinggi ialah hartanah (RM47.9 juta), pembinaan (RM33.3 juta) dan tenaga (RM5.2 juta).
"Tiga sektor teratas yang mencatatkan aliran keluar asing bersih tertinggi ialah perkhidmatan kewangan (RM565.8 juta), produk dan perkhidmatan pengguna (RM172.2 juta), dan penjagaan kesihatan (RM129.9 juta)," tambahnya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami