Pan-gon harap insiden kad merah matangkan Harith Haiqal

Pan-gon (kanan) berharap Harith Haiqal (kiri) belajar daripada kesilapan. - Foto Sinar Harian
PENGENDALI Selangor FC, Kim Pan-gon berharap pemain pertahanan muda, Harith Haiqal Adam Afkar dapat mengambil iktibar daripada insiden kad merah yang diterimanya pada aksi kedua pusingan 16 Piala Malaysia menentang Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC) di Stadium MBPJ pada Jumaat malam.
Pan-gon menyifatkan insiden berkenaan sebagai satu pengalaman penting dalam proses pembentukan pemain, khususnya dari segi pengurusan emosi dan pembuatan keputusan ketika beraksi di peringkat kompetitif.
Pada perlawanan tersebut, Harith Haiqal pada awalnya dilayangkan kad kuning susulan terjahan ke atas pemain lawan, Albert Kang sebelum keputusan itu ditukar kepada kad merah selepas pengadil meneliti semula insiden berkenaan menerusi bantuan video (VAR).
Menurut Pan-gon, pemain berusia 23 tahun itu masih mempunyai ruang luas untuk memperbaiki diri dan perlu memanfaatkan pengalaman berkenaan bagi meningkatkan kematangan dalam perlawanan akan datang.
“Saya harap beliau dapat belajar daripada apa yang berlaku dan mengendalikan situasi seperti ini dengan lebih baik selepas ini.
“Perlawanan di peringkat ini memerlukan kawalan emosi dan keputusan yang tepat,” katanya pada sidang media pascaperlawanan.
Dalam pada itu, beliau memuji sikap profesional ditampilkan pemain Selangor FC yang kekal berdisiplin dan fokus walaupun beraksi dengan kekurangan seorang pemain.
Selangor mengesahkan kemaraan ke suku akhir Piala Malaysia selepas menewaskan Kelantan TRW FC 3-0 untuk menang dengan agregat 5-1. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


