KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat (AS) menyambut baik cadangan Malaysia untuk meluaskan Memorandum Kerjasama (MOC) mengenai daya tahan rantaian bekalan semikonduktor yang dimeterai antara dua negara itu ke platform serantau Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF).

Menurut kenyataan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Setiausaha Perdagangan Amerika Syarikat (AS), Gina M Raimondo menyifatkan inisiatif yang dicadangkan oleh Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali itu dapat membantu untuk memperkukuhkan lagi usaha-usaha daya tahan rantaian bekalan semikonduktor.

"Inisiatif serantau ini dilihat sebagai penyelesaian kepada isu dan gangguan berkaitan rantaian bekalan serta keselamatan makanan global," kata kenyataan itu di sini, pada Sabtu.

Dalam rangka kerja IPEF selama dua hari di Los Angeles, California, Mohamed Azmin turut mengadakan mesyuarat dua hala yang sangat memuaskan membabitkan pelbagai spektrum dengan rakan sejawatannya.

Menurut MITI, ia merangkumi pelbagai perkara termasuk perkembangan perdagangan dan pelaburan dua hala, kerjasama sektor awam-swasta serta meneroka peluang di mana kedua-dua negara boleh mendapat manfaat melalui kerjasama komersial.

Pada masa yang sama, ia juga mengukuhkan lagi diplomasi ekonomi antara AS dan rakan kongsi IPEF bersama-sama meningkatkan daya saing ekonomi serta merealisasikan agenda elemen berasaskan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

IPEF yang ditubuhkan 14 negara termasuk Malaysia mewakili 40 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global serta 28 peratus daripada perdagangan barang dan perkhidmatan global.